05 Julai 2014

Poster Hijaiyyah Kad Imbas Khadijah

Sedikit masa dahulu, saya mempunyai kesukaran untuk mendapatkan poster belajar huruf Hijaiyyah.

Kebanyakan yang ada di pasaran huruf Hijaiyyah yang sudah berbaris atas semuanya. Walhal, saya mahu mencari huruf Hijaiyyah yang tunggal sebagai asas yang kuat untuk anak-anak saya mengetahuinya terlebih dahulu sebelum kenal baris serta fungsinya.

Jika ada pun ianya adalah huruf Jawi. Maka, terpaksalah saya membeli huruf Jawi kerana itu sahaja huruf tunggal yang ada tanpa baris.


Namun begitu, saya terpaksa berhadapan dengan pengasingan huruf antara Hijaiyyah dan Jawi. Saya akan menerangkan kepada anak-anak yang mana huruf Jawi dan yang mana huruf di dalam al-Quran. Saya katakan bahawa huruf Jawi itu bukan huruf al-Quran. 

Saya sangkakan Fathi (4 tahun) ketika itu tidak faham lagi untuk membezakan apa yang saya perkatakan setiap masa bahawa Ca, Ga, Pa, Va, Nga dan Nya itu adalah huruf Jawi bukan huruf dalam al-Quran.

Saya terkejut ketika pada satu hari setahun kemudian (kini Fathi 5 tahun dan sudah masuk Tadika) pulang ke rumah dan saya bertanya kepadanya seperti biasa.

"Hari ni abang belajar apa kat sekolah?"

"Hari ni belajar eja Jawi."

"Oooo, belajar Alif Ba Ta eh? Cikgu ajar abang ngaji sampai mana?"

"Bukan ngaji la mak. Cikgu ajar abang Jawi. Yang Ba untuk Bola tu. Dah sampai huruf Sod!"

"O ok.. Jawi eh. Sampai huruf Sod.. Lagi? sebelum tu abang belajar huruf apa?"

"Abang ingat yang macam huruf Jim tu tapi dia ada 3 titik. Huruf dia Ca."

"Oh, bagus! Abang ingat huruf Ca. Dia macam Jim ek tapi ada 3 titik kat tengah. Emm, macamana pulak huruf Pa?"

"Pa? Yang mana ek? Abang baru belajar sampai Sod jelah mak!"

Hahaha... Ok ok.. Mak advance sangat dah nampaknya..


Saya berfikir, bahawa Fathi sudah dapat membezakan antara huruf Hijaiyyah (huruf dalam al-Quran = Ngaji) dengan huruf Jawi (bahasa Melayu = bukan Ngaji).

Alhamdulillah! Atas kesusahan yang saya alami dahulu kini saya dapat menerbitkan sendiri Poster Belajar Hijaiyyah berdasarkan Kad Imbas Khadijah yang sudah terbit sejak akhir tahun lalu (Disember 2013). 



Desain A : Huruf Tunggal sepenuhnya tanpa baris berdasarkan persamaan bentuk, rupa dan sebutan huruf yang betul. Di sini, fungsi utama Kad Imbas Khadijah dan Poster Hijaiyyah ini dibuat untuk anak-anak dapat mengenalpasti ciri utama dan bentuk suatu huruf. Dengan mengenal ciri (berapa titik, di atas, di tengah atau di bawah) dan persamaan bentuk huruf dengan alam sekeliling yang sering dapat dilihat akan membantu mereka lebih cepat mengingat tanpa perlu menghafal. 

* Di sinilah, harus dibezakan epistimologi mengajar Jawi. Jawi adalah bahasa Melayu yang meminjam simbol dan tulisan Arab. Pada pendapat saya, pengajaran huruf Jawi lebih bagus diperkenalkan melalui huruf awal bagi satu perkataan bahasa Melayu iaitu seperti Ta untuk Tali. Ca untuk Cawan.

Cara pengajaran harus dibezakan supaya anak-anak tahu bahawa antara Hijaiyyah dengan Jawi itu adalah berbeza walaupun punya banyak huruf yang sama.

Bukan antara keduanya sama kerana banyak huruf yang sama dan hanya beberapa huruf saja yang membezakannya. Ini harus diubah!

Kerana hakikatnya, huruf Hijaiyyah itu adalah asas bahasa Arab. Manakala, Jawi pula adalah bahasa Melayu.



Desain B : Huruf-huruf yang berbaris satu yang asas. Setelah anak sudah mampu mengenal ciri dan bentuk huruf tanpa perlu menghafal, adalah lebih baik diperkenalkan dengan baris-baris yang asas iaitu baris atas, bawah dan depan secara serentak dengan fungsinya. Caranya melalui mimik wajah yang mudah diikuti yang menjadikan suasana pembelajaran lebih menyeronokkan melalui emoticons! Anak-anak akan lebih cepat mengingat melalui gambar dan mimik wajah yang comel. 

Begitu juga orang dewasa. Jika masih ada yang kurang dapat mengingat atau tidak mahir membaca al-Quran lagi, orang tua juga boleh belajar melalui gambar dan emoticons. Di sinilah fungsi otak kanan dan otak kiri dapat diaktifkan secara serentak yang mengakibatkan otak dapat dirangsang secara optimum dan sekata antara kedua-duanya. Jadi, tidak timbul isu bosan, lemau dan mengantuk ketika belajar mengaji.

Dengan adanya Poster Belajar Hijaiyyah ini anak-anak boleh membaca dan mengulangkaji tak kira masa malah pada setiap masa mereka bermain, mereka akan singgah dan menunjuk-nunjuk seterusnya membacanya dengan sendiri. Jika saya tidak sempat, mereka akan belajar sesama sendiri. Walaupun baru bangun tidur! Sedang bersarapan dan belum mandi lagi. Hehe..


(Fatihah 4 tahun, Fahmi 1.5 tahun)



Kadangkala pula, mereka hanya melihat dan 'komen' gambar latar dalam poster ini.

"Burung-burung ni ramai-ramai nak pergi mana mak?"

"Ini haiwan apa? Kenapa dia duduk kat bunga?"

"Kenapa songkok budak laki ni tinggi mak?"

"Yang macam terang warna kuning ni haiwan apa mak?"

"Kenapa budak ni takde gigi? Semua orang ada gigi?"

Hehe.. Sengaja saya mahukan gambar latar yang boleh menarik perhatian anak-anak untuk melihat potensi mereka berfikir kritis semasa belajar. Samada boleh atau tidak mereka mencipta soalan yang mampu mencabar imaginasi orang dewasa untuk menjawabnya.

Jika contohnya soalan begini mereka tidak tanyakan kepada kita, bermakna kita yang harus bertanyakan kepada anak-anak. Lebih mencabar imaginasi lebih baik! 

Mencipta daya pemikiran kritis anak-anak sejak kecil juga perlu sebagaimana kita mahu memupuk daya pemikirannya menerima dan memproses maklumat dalam skala kecil mereka sendiri.

Membentuk pemikiran kreatif dan kritis anak-anak sejak kecil.




4 ulasan:

Zantie Azizan berkata...

Assalamualaikum...
saya berminat nak dapatkan poster huruf hijaiyah tunggal dan berbaris ni....bole bagitau mcm mana dan di mana saya bole membelinya?
Terima kasih.

Khadijah Gani berkata...

Mohon mesej/WhatsApp di 019.7175093

Terima kasih.

permata berkata...

Assalamu'alaikum..
Puan khadijah, bila nak buat versi berbaris dua (tanwin) pula? :))

Khadijah Gani berkata...

Wa 'alaikumussalam puan. Untuk kad imbas dan poster hijaiyyah tanwin, saya tidak akan buat.

Namun begitu, suka saya mencadangkan kad imbas yang dibuat oleh kenalan FB saya iaitu Puan Hanisah Wanasan (boleh print sendiri atau boleh tunggu keluarannya nanti).

Beliau ada mencipta kad imbas untuk beberapa peringkat bermula huruf tunggal hingga membaca menggunakan kad imbas. Boleh pm beliau untuk maklumat lanjut.