CERITA 1 : Semua manusia berubah


Ada seorang anak jiran saya berumur 6 tahun, dia baru belajar mengaji dengan saya. (Ramai lagi yang sebaya dengannya, cuma kes dia memang special sikit.)




Setiap budak yang mengaji mempunyai buku catatan sendiri. Di dalam buku itu dicatatkan hari, surah, ayat, tandatangan guru, dan komen guru.

Saya membaca semua catatan prestasinya terdahulu. Namun, saya pilih untuk tidak mempercayai pada catatan dan komen gurunya yang terdahulu. (Saya bukanlah guru, hanya suri rumah biasa.)

Semasa dia mula-mula datang mengaji, anak ini 'berat' untuk menyebut huruf dengan terang. Dagunya disangkutkannya di atas meja. Saya suruh habiskan 1 muka surat pun dia yang 'demand' nak baca setengah muka sahaja. Ada kalanya dia mahu baca suku muka surat saja.


Selalunya, dialah juara 'suara paling kuat' dan dia menjadi ketua anak-anak lain bermain sebelum mengaji.


Saya praktikkan sedikit-sedikit tiptip yang saya baca dari wall Puan Ainon Mohd.

1. Saya tahan kemarahan: Setiap kali dia buat muka malasnya dan sangkutkan dagunya di tepi meja, saya nampak dia sangat comel hingga nak picit-picit pipinya. Saya pun tidak jadi marah.

2. Saya tidak tegur kesilapannya dalam panjang pendek bacaan. Asalkan dia boleh bunyikan huruf yang berbaris, itu sudah bagus.

3. Saya tidak harap dia betul pada semua bacaannya. Saya banyak membunyikan huruf apabila sikit-sikit dia tanya "Apa ni? Apa ni?" (Padahal jenuh juga saya rasa asyik ditanya, serupa macam saya pula yang membaca, bukan dia.)

4. Dalam buku catatannya, saya selalu terangkan kepadanya apa yang saya tulis. Kebanyakannya saya tulis "Boleh fokus lagi", "Baik." "Bagus", "Banyakkan latihan bacaan." (Walaupun dia membaca salah semuanya.). Apabila ditanya, "Kamu tahu fokus itu apa?" Dia geleng-geleng. Saya cakap, "Fokus itu tak nak main-main lagi." Dia angguk. Saya tidak senaraikan sebarang kelemahannya, seperti pada catatan gurunya sebelum ini.

Hari ini, apabila dia sudah masuk ke Iqra' 4, bacaannya menjadi laju! Dia meminta mahu membaca 2-3 muka surat! Katanya, "Tak bestlah baca sikit-sikit."

Dan yang membuatkan saya tersenyum, dia datang mengaji, tapi dia senyap sahaja dan melekat di rak perpustakaan mini anak saya, tanpa suara yang tinggi lagi.

Dari mula-mula, apabila saya mendengar cerita (jiran lain) yang memberitahu bahawa anak ini dan abangnya pernah dikurung di dalam bilik, iaitu semasa mereka berdua dijaga di rumah pengasuh sebelum ini kerana kenakalannya. Saya kasihan kepada mereka, dan selalu mendoakan anak-anak ini akan berubah satu hari nanti, untuk membuktikan kepada jiran-jiran keliling yang mereka bukanlah senakal yang disangka.

Saya sangat gembira hari ini! 



Ulasan

Catatan Popular