CERITA 10 : Seronoknya Tajwid!



Malam ini saya sangka mereka tak mahu datang mengaji kerana semalam baru saja dibuat ujian penilaian. Sebelum jam 8 malam lagi rupa-rupanya mereka sudah datang berkumpul! Kagum saya dengan semangat mereka. Salah seorang daripada mereka meminta mahu belajar tajwid lagi. Katanya seronok belajar tajwid. Saya terus saja bersetuju dengan cadangannya. Tapi, kali ini bukan saya yg mengajar seperti sebelum ini. Seorang demi seorang harus ke depan untuk mengajar bergilir-gilir pula.

Ada seorang kawannya yg belum hadir. Salah seorangnya menelefon kawannya itu ajak datang malam ini. Saya terdengar perbualannya,

"Tak dapat markah penuhlah kena datang mengaji selalu biar lepas ni dapat markah penuh. Pandai.."

Saya terus teringat cerita Cikgu Khairulaniza betapa kuatnya pengaruh rakan sebaya. Tak perlu kita cakap apa-apa!

Sebelum bermula, saya memberikan gelaran mengikut cita-cita mereka.



Yang di depan ini sekarang ialah Kapten Danny Asyraf [bakal ketua pasukan bola sepak negara] dan Mejar Dr. Isa Iskandar [bakal angkasawan negara].

Manakala, murid yg mendengarnya ialah Dr. Nur Badrina [bakal saintis negara] dan juga Dr. Veryanna Fatihah [bakal doktor veterinar].

Mereka sangat bersemangat sekali mengajar dan diajar. Apabila disuruh datangkan contoh mereka memberikan kerjasama yg sangat baik sekali! Gigih mencarinya di dalam Quran dan kemudian seorang demi seorang menulis contohnya di papan putih.

Kapten Danny Asyraf menerangkan tentang Mad Asli.

Alif, Wau, Ya, [AWI] adalah kawan baik MAD yg menjual madu ASLI. Senang saja Kapten Danny ini mengingat huruf-huruf terlibat dan barisnya serta bagaimana bacaannya. Panjang 2 harkat. [Bila jumpa ‘AWIe’ kenalah ambil masa lama sikit, ambil gambar, ambil autograf. Tak boleh pendek-pendek.] hehe...

Dr. Veryanna Fatihah pula menerangkan tentang Izhar Halqi.

Lebih kurang sama seperti nama artis 'Azhar'. Punya 6 huruf yg terlibat. Apabila ditanya apa huruf-hurufnya, dia tulis besar-besar di papan putih 'TAK TAHU'. (Padahal baru semalam saya sudah mengajarkannya).

Saya katakan, kalau macam tu minta tolong kawan-kawan lain sebut dan tuliskan di papan. Dengan pantas saja tertulis 6 huruf yg terlibat. Kali ini seorang satu contoh dan tulis juga di papan. Kesemuanya betul! Apabila ditanya bagaimana bacaannya, Fatihah juga gagal menjawab.

Mejar Dr. Isa Iskandar yg menjawab, "Hukumannya gantung sampai mati!"

(Ok Loyar buruk lagi nampaknya.. Tak mengapa..)

Saya terus menyambung, "Kalau orang kena gantung sampai mati, sebelum orang tu mati dia keluarkan bunyi yg terang ke berdengung?"

Serentak menjawab, "Terang!" Fatihah pun segera menulis di papan 'JELAS'. Dia juga menulis di papan tanpa disuruh ciri-ciri lain iaitu nun mati bertanda. Kali ini Fatihah angguk kepala faham.

Oleh kerana jam sudah ke angka 9, saya memberhentikan kelas. Mereka ambil masa yg lama mencari contoh ayat dalam Quran. Tengok-tengok sudah 1 jam. Namun, mereka meminta disambung lagi kerana esok sudah cuti tidak mengaji. Saya pun menyambung satu lagi hukum tajwid, Iqlab.

Kali ini giliran Mejar Dr. Isa Iskandar pula. Dengan segera dia mengatakan, "Oh ini senang saja! Hurufnya ba!" Apabila ditanya bagaimana bunyi bacaannya dia terus menjawab, "Bunyinya 'ba'!" (dengan gaya orang seperti sendawa) Hahaha...

Saya juga tak dapat menahan gelak! Saya suruh datangkan contoh, dia terus menulis dari surah yasin katanya.

Apabila dilihat, itu Saktah [waqaf yg harus tahan nafas] bukan Iqlab.

Saya tanya lagi apa tandanya? Dr. Badrina saja yg boleh menjawab "Mim kecik."

Saya katakan, "Nampak tak perbezaannya? Saktah, sin kecik. Iqlab, mim kecik." Serentak berbunyi, Oooooo...

Kemudian, saya minta dibunyikan contoh bacaan yg betul [Dr. Badrina yg dapat beri contoh yg betul]. Apabila dibunyikan seperti Idgham Mislaini [dua bibir dirapatkan].

Saya ambil sehelai kertas letak di antara 2 bibir dan membunyikan bacaan yg betul.. Semuanya cuba membunyikan dan akhirnya dapat membezakan antara bunyi Iqlab dengan bunyi Idgham Mislaini tadi. Kali ini, Iqlab dapat dibaca dengan betul oleh semua orang.

Apabila jam sudah 9.30 saya berhentikan juga kelas dan berjanji akan menyambung minggu depan. Semuanya kelihatan gembira sekali! Masing-masing sudah menempah saya untuk belajar solat pada malam sabtu ini manakala pagi ahad acara santai sempena cuti sekolah, menonton filem 'Hafalan Solat Delisa' yg akan diadakan di rumah saya. Masing-masing mengatakan 'bosan' hanya duduk di rumah, maka saya terfikir untuk memberi mereka 'suatu pengajaran' melalui filem yg sangat bagus ini.

Untuk malam ini, saya juga gembira kerana dapat ilham 'cara baru' yg lebih efektif mengajar tajwid pada anak-anak yg sukar fokus dan kuat 'loyar buruk' ini. :)

-----------------------------------

Asas teknik : Pejam mata pada kesalahan, tidak menegur kesalahan, tidak membebel, terangkan apa yang betul.

Ulasan

mumtazah berkata…
Assalamualaikum
Saya berharap sangat puan banykkan entri tajwid.
Saya ikut sama belajar dan ulangkaji bersama mereka.
:)
Khadijah Gani berkata…
Insha Allah.. Saya akan cuba.. Terima kasih.

Catatan Popular