CERITA 2 : Tahan diri dari menyiasat

Hari ini di dalam kelas mengaji berlaku situasi yang menyentap jiwa saya.

Semasa saya mengajar seorang anak berumur 5 tahun, dia sangat tidak fokus. Dia membaca iqra' 1, tetapi seperti tidak kenal huruf.


Tadi saya tukar strategi. Saya suruh dia baca muqaddam biasa itu. Alif ba ta semula. Dia kenal huruf. Tapi bila sampai an, in, un, dia 'hilang' semula.


Saya siap ejakan kepadanya, dan apabila saya suruh dia bunyikan, langsung lari bunyi dengan hurufnya. Dia main 'tembak-tembak bunyi' sahaja. Sampai saya rasa tiba-tiba mahu naik darah!


Matanya melilau. Saya suruh tunjuk huruf, sekejap saja kemudian dia toleh lagi tengok orang lain.


Saya katakan, "Fokus, awak tahu tak, fokus itu apa?" Dia jawab "Pandai". Saya jawab kembali. "Bukan... Fokus itu tidak toleh kiri kanan. Teruskan baca."



Tapi bacaannya tetap sama. Belakang badan saya sudah mula sakit. Hati sudah panas.


Oleh kerana darah saya sudah mula 'menyirap' saya tertanya dia. "Eh, eh... Kenapa baca macam ini? Langsung lari bunyinya!" sambil saya tenung tepat ke matanya. Walaupun saya sudah tahu saya tidak boleh guna 'kenapa' tapi entahlah, ia keluar secara spontan... Tanpa kawalan lagi.


Anak ini merenung kembali mata saya tanpa kelip. Lalu dia berkata, "Sebab kita bodoh."


Saya terkejut! Lalu, saya lekas-lekas kawal emosi dan tahan diri untuk 'menyelidiki'. Namun, dari hujung sudut kelas, kakaknya terdengar dan dia terus menjawab, "Ha ah.... mak dengan bapak kita cakap dia memang bodoh."


Saya terus pandang lagi tepat ke matanya. Saya katakan, "Dengar sini. Semua orang dalam dunia ini dilahirkan pandai....Tak ada orang bodoh. Fokus. Teruskan baca."


Saya ejakan dan suruh dia bunyikan kembali. Kali ini lancar pula. Sekali dua tidak dapat, kali ketiga sudah betul bunyinya dengan huruf yang saya ejakan.


Saya katakan padanya, "Hah, tengok tu. Awak pandai! Laju saja awak baca. Semua orang dilahirkan pandai! Kan?"


Dia mengangguk.

Ulasan

Catatan Popular