Empat asas teknik terawal



Pada permulaan kelas mengaji dahulu, saya hanya mengaplikasi 4 jenis teknik saja berdasarkan pembacaan saya di wall Puan Ainon Mohd.. Ya, boleh dikatakan saya mencuba tip-tip yang dikongsikan beliau hanya melalui Facebook saja. Berikut adalah premis yg saya pegang dan sudah hadam hingga kini.

1. Tidak menghukum anak atas kesalahan mereka tapi menerangkan cara yg betul kepada mereka. 

Bagi anak yg sering mengaji salah walaupun sudah dibetulkan banyak kali, saya tidak menghukumnya dengan merotan atau menghentak-hentak meja. Selalu juga ada yg tertinggal buku Iqra' dan Quran di rumah dan kemudian datang mengaji dengan tangan kosong namun saya tidak memarahi/menghukum mereka atas kesalahan itu.

Gunakan saja apa yg ada atau pinjam saja dari anak yg lain. Ada sekali anak kecil berusia 4 tahun itu tak membawa apa-apa datang mengaji. Secara kebetulan, ada buku ABC bergambar di hadapan saya. Malam itu, saya hanya mengajarkannya ABC saja.hehe.. Jadilah.. Asalkan belajar.




2. Tidak marah/menegur kesalahan mereka di hadapan orang ramai.

Pada awal dahulu, saya agak susah mahu memahami premis ini. Maklumlah, saya hanya mengikuti pembelajaran daripada Puan Ainon secara maya. Saya sudah tahu gaya Puan Ainon. Jika ada soalan pun, bukan semua yg akan dijawabnya terus. Beliau hanya akan 'like' soalan kita itu sahaja.

Maka, apabila kerapkali mendapat like tanpa ada jawapan, saya terus berfikir-fikir. Ya, kadangkala setiap persoalan tak memerlukan jawapan. Hanya apabila kita mahu mengaplikasikannya, Allah akan dorong diri kita sendiri mendapatkan jawapannya melalui pelbagai cara.

Bagaimana mahu ajar mengaji tapi tak ditegur kesalahannya?

Untuk seminggu awal mengajar ngaji ke atas anak yg mengaji Quran saya hanya akan membacakan yg betul sikit-sikit saja. Iaitu panjang pendek ayat [mad asli]. Yang lain lintang pukang dulu pun tak mengapa. Berikan sedikit masa dan ruang untuk membetulkan satu persatu.

Bagi anak yg mengaji Iqra' pula saya tak tekankan sangat hukum mad asli yg dibaca. Bunyikan untuknya jika salah. Ya, memang kita yg membunyikan lebih banyak daripada dia membacanya. Harus diingat, mereka punya banyak lagi masa untuk memperbaiki bacaan mereka.

Yg Iqra' masih ada masa apabila naik muqaddam nanti. Yg sudah mengaji Quran juga punya banyak masa sebelum khatam Quran nanti. Sebagai pengajar, kita tak boleh mengharapkan semuanya akan bagus dan lancar dalam masa satu malam atau satu minggu.

Berikan mereka ruang dan peluang berbuat salah supaya mereka boleh tahu apa yg betul. Itulah tujuannya belajar. Jangan terlalu menegur atau jangan terlalu memarahi. Dikhuatiri akan menjadikannya 'lemah semangat' dan terus 'lemah kaki' untuk datang mengaji lagi.


3. Tutup mata atas kesalahan anak/pelajar.

Bagi anak yg mengaji al-Quran dan ada yg mahu khatam, saya lihat prestasi mereka. Jika terlalu hampir untuk khatam [sudah tidak banyak masa] dan masih tidak betul lagi panjang pendek dan dengungnya, saya akan memintanya mengaji semula 1 juzuk ke belakang.

Pujuklah semampunya. Kerana ada bacaan yg harus digilap sebelum mencapai tahap khatam al-Quran [ikut penilaian saya].

Bagi yg masih banyak kesalahan bacaan, tapi masih berada di awal atau di tengah al-Quran, saya hanya menutup mata atas kesalahannya yg banyak.

Betulkan bacaan mereka dengan penerangan tajwid supaya mereka tahu kenapa mereka salah dan tidak mengulanginya di masa depan. Walaupun dia mengulangi kesalahan yg sama, terangkan semula kembali. Lebih banyak kita ulang, lebih cepat mereka ingat. Tanpa marah/mengherdiknya.

Caranya, satu minggu ditekankan mengenai mad asli saja. Minggu depan tekankan waqaf pula. Minggu seterusnya Izhar saja dan seterusnya Ikhfa' saja. Seminggu 4 hari ditekankan dan diulangi 1 hukum tajwid saja supaya mereka mudah ingat dan tak terkeliru dgn hukum tajwid yg pelbagai.


4. Sistem pemarkahan 10-20-30 yang diterjemahkan secara kreatif dalam bentuk cop dan bintang.

Dengan pemarkahan yg tertinggi hanya 30 dan yg paling rendah 10, lebih menjadikan mereka bersaing secara sihat dan tidak merasa mereka punya jurang yg besar antara budak yg sudah pandai membaca dengan yg masih terkial-kial membaca. Ini seterusnya dapat mendorong dan mengganjari mereka untuk terus melakukan sesuatu dengan lebih baik. 

Dan sistem pemarkahan ini tiada pengurangan/potong markah jika terdapat kesalahan sekalipun. Saya menilai mereka berdasarkan bacaan mereka pada malam itu saja. 

Seperti dalam maksud hadith bahawa pahala yg diberi mengikut salam yg dijawab berdasarkan perkataan mana yg selesai diucapkannya, begitulah saya memberi penilaian berdasarkan tahap bacaan mereka pada satu-satu malam sahaja. 

Kebiasaannya, yg baru akan bermula dengan 10 markah [asalkan boleh bunyi]. 

Selepas seminggu akan meningkat ke 20 markah [apabila sudah dapat membaca panjang pendek ayat dengan betul walaupun ada satu-dua yg terbabas tak mengapa]. 

Dan 30 markah apabila bacaannya memang sudah banyak pembaikan dan sudah semakin laju dibandingkan dengan awal-awal dahulu. Kadangkala, saya memberikan 30 markah  apabila setiap hari selama berminggu-minggu dia hanya mendapat 20 markah dan pada malam itu suaranya dikuatkan dan dengar jelas pun saya berinya 30 markah sambil menerangkan kepadanya kenapa dia berhak dapat 30 markah pada malam itu.

Hasilnya, memang anak ini sangat gembira! Dan akan mengulanginya dengan suara yg kuat esok hari pula. Walaupun dia mengulangi kesalahan bacaan asas yg sama, biasanya saya hanya akan memberinya 20 markah. Dan saya terangkan kenapa semalam dapat 30 dan hari ini hanya 20. Bukan bererti memotong markahnya.

Ia seperti anda dijamukan dengan satu-satu hidangan dan anda perlu memberi 'rate' hidangan tersebut yg kebiasaannya digunakan antara 1-10. 1 yg paling tak sedap. 10 yg paling sedap. Begitulah gaya yg sama digunakan ke atas pemberian markah 10-20-30 ini.

Walaupun hanya bermula dengan 4 jenis teknik ini sahaja ternyata memberi impak yg sangat besar kepada anak-anak mengaji saya. Tiada yg berasa diaibkan dan self-esteem mereka tidak dijatuhkan bagi mereka yg belum dapat mengaji dengan baik. 

Apabila mereka masih ada minat mengaji kerana tidak mendengar bebelan dan bentakan maka, mereka akan berusaha sendiri setiap hari untuk membunyikan apa yg betul saja selepas ini.

Saya akan kongsikan teknik yg lain lagi selepas ini. Insha Allah..


Ulasan

Catatan Popular