Hadiah kejutan (Terkini)



Hari ini bukan harijadi saya. Bukan juga hari ulangtahun apa-apa yang istimewa buat saya.

Hari ini hari Jumaat. Biasanya, hari ini tidak mengaji. Hari Jumaat malam dikhaskan untuk Kelas Mengaji ibu-ibu. Tak semena-mena, sebelum saya mahu bersolat maghrib tadi datang 2-3 orang anak mengaji bertanya bolehkah mereka datang mengaji malam ini?

Pada mulanya, saya macam agak keberatan. Ingatkan hari ini mahu bersantai dengan anak-anak selepas hari semalam yang penuh dengan kelam kabut diserbu 22 orang sekaligus datang mengaji!

Tapi, yalah... Saya ini memang lembut hati. Saya katakan, solat maghrib dulu dan datang semula jam 8 nanti (selepas saya makan malam).

Selesai solat, saya terus makan malam. Sedang menyuap Fatihah makan mereka sudah datang memberi salam. Jam belum lagi pukul 8. Saya buka pintu dan suruh mereka menunggu sebentar.



Saya bertanya kepada mereka. "Kenapa datang malam ni? Kan malam ni sepatutnya tak mengaji."

Hehehe... Saya tak dapat menahan diri untuk mengetahui apa yang bermain di fikiran anak-anak mengaji ini sampai mahu datang mengaji juga malam ini.

Katanya, "Boringlah duduk rumah tak buat apa baik mengaji dengan Cik Jah!"

Kawannya menyambung, "Ha ah Cik Jah. Kita pun boring duduk rumah. Kita yang panggil diorang semua ajak datang ngaji".

Lagi seorang menjawab, "Perasan! Aku yang beri idea ni dulu! Sebab tu aku yang datang rumah Cik Jah tanya tadi.."

Lagi seorang pula mencelah, "Eh, aku yang ajak dulu! Aku pun datang rumah Cik Jah tanya tadi.."

Sudah..

Sebetulnya, di sini saya perlu memuji usaha mereka dengan mengatakan kagum terhadap kemahuan mereka yang datang mengaji walaupun tidak disuruh. Tapi semasa itu, saya terlupa disebabkan saya meleraikan perbalahan mereka dan tergesa-gesa dipaksa oleh seorang lagi yang sudah tak sabar-sabar mahu mengaji sudah bersiap di meja.

[Nota : Jangan ikut seperti saya. Anda harus memuji usaha anak/pelajar anda walaupun anda tak suka.hehe..] - Asas teknik.

Yang datang malam ini ada 7 orang saja. Umur antara 6 tahun hingga 14 tahun. Jadi, saya bagi mereka baca lebih sikit. Dua daripadanya masih belum dapat membunyikan huruf yang bersambung. Mereka berdua ini saya berikan ekstra perhatian kerana saya saja yang mahu mengajarnya. Penolong guru pun tidak boleh mengajarnya.

Caranya, bunyikan dulu satu huruf yang berbaris itu. Ka. Berjumpa dengan alif lam. Kaaaa aallll...

Dia menyebut Ak.

Saya bunyikan lagi- buka mulut dulu. Aaa.. Tapi huruf kaf. Jadi, kaaaa.... Sambung dengan alif lam mati - le.. Sambungkan keduanya - Kaaallll...

Dia menyebut ak el pula.

Saya ulang yang sama, bermula dengan kaaaa - tahan mulut jangan tutup. Sambung terus dengan al. Bunyikan - Kaaa alll... Lajukan bunyi..

Barulah dia boleh menyebut Kal...

Inilah anak mengaji saya yang sangat saya beri perhatian. Berumur 12 tahun. Setiap huruf yang bersambung dengan alif lam dan yang bersabdu, memang begitulah keadaannya. Penerangan dibuat sebanyak 3 kali.

Kadangkala, saya boleh jadi panas hati apabila ditambah dengan anak-anak sendiri yang menghimpit di kiri dan kanan. Belum masuk lagi memangku si kecil. Ditambah dengan anak-anak mengaji yang bergaduh sesama sendiri kerana mahu mengaji dahulu.

Tapi, melalui dialah tahap kesabaran saya semakin hari semakin meningkat. Ya, dia yang mengajar saya erti kesabaran yang sebenar. Dia melatih saya untuk bersabar.

Walaupun hanya 7 orang, Kelas Mengaji habis jam 9 malam. Ini kerana ada 2 orang yang sepertinya. Mahu menghabiskan 6-7 ayat saja dekat setengah jam.

Selesai kesemuanya mengaji dan menyusun jadual baru, tiba-tiba seorang anak mengaji menghulurkan saya pemotong kuku kecil yang terletak cantik di dalam kotak yang comel.

Saya terkejut! Apa ni?

Katanya, "Mak saya bagi Cik Jah".

Saya seperti tak percaya. Berulangkali saya bertanya betul ke?

Saya hanya meletakkannya di meja. Memandang kotak kecil itu tak percaya. Apabila semua balik, barulah saya membelek. Rupa-rupanya di belakang kotak ada tertulis,

Kepada : Cik Jah
Daripada : 1. Zikry. 2. Indera. 3. Raziq.

Ohhhhhh, jatuh luluh hati dan jantung saya membacanya! Siap dengan tandatangan masing-masing!

Jika anak mengaji perempuan, saya faham. Tapi.....

Sungguh saya kagum dengan mereka bertiga!

Tahun lepas, semasa jamuan kecil-kecilan akhir tahun, saya juga mendapat hadiah kejutan berupa frame gambar yang cantik. Daripada Indera juga ketuanya. Raziq adalah anak mengaji baru saya.
Saya bercadang mahu print gambar anak mengaji saya beramai-ramai dan letakkan dalam frame tersebut supaya semua orang boleh melihatnya. Tapi, masih belum sempat lagi nampaknya.


Walaupun saya hanya sekali sekala memuji usaha mereka yang sangat gemar datang mengaji setiap hari di awal waktu, namun saya dapati mereka masih tetap bersemangat dan cemerlang dalam bacaan  masing-masing. Mereka dengan sendiri menjadi ringan tulang untuk membantu sesama rakan sepengajian mereka tanpa disuruh.

[Saya akui saya memang punya kelemahan apabila tiba bab membuat skrip memuji hehe..]

Namun, tanpa pujian setiap hari pun saya mendapati anak mengaji saya ini masih meneruskan semangat dan berusaha untuk terus cemerlang setiap hari. Malah, mereka yang mengganjari saya dengan sesuatu tanpa diduga. Saya pula hanya mengganjari hadiah tertentu kepada yang mendapat markah penuh dalam ujian mengaji terdahulu sahaja. Malulah saya begini.

Saya berfikir-fikir.

Apa yang saya belajar daripada mereka malam ini?

Seperti tajuk Bab Pertama dalam Ebook yang saya sedang tulis sekarang.

"Apa yang dipandang, itulah yang terbias".

Betapa pentingnya kita sebagai pengajar apa sekalipun menutup mata pada kenakalan mahupun kecorotan prestasi mereka. Pandang mereka dengan sihat dan positif. Maka, yang terbias itu juga pasti sihat lagi positif.

Apabila kita memberikan kasih sayang dan penghormatan kepada jiwa di hadapan kita, kelak kasih sayang dan penghormatan itu akan kembali kepada kita sendiri.

Tanpa syarat. Tanpa kita duga.






Ulasan

Catatan Popular