SABAR


Saya kongsikan soalan yg pernah diajukan kepada saya.

Soalan :

Assalamualaikum Puan. Boleh dikongsikan tips Puan mengajar mengaji ? Saya kalau mahunya tension, habis la murid2 di sekolah dimarahi. kadang2 tak tahan sabar. Saya juga pernah mempraktikkan teknik Nabi tu, tp kadang2 menjadi, kadang2 tidak. Bagaimana ya mahu menyuruh supaya mereka segera melakukan tanpa ada perkataan "sekejap"? Ya, saya tahu tentang teknik memuji itu, tapi mahu sahaja tahu teknik menyuruh. Malahan, teknik supaya murid tidak bising di salam kelas? Puan juga mengajar kanak2 yg ramai kan. Boleh dikongsikan bersama saya?

Pandangan saya : 

Terima kasih kerana bertanya. Sebelum itu, saya minta maaf kerana lambat membalas. Saya berbesar hati dapat berkongsi pengalaman bersama. Bukan bermakna saya lebih pandai dan sempurna dalam hal begini. Hanya berkongsi apa yg saya lakukan. Cik puan / Puan tak semestinya harus melakukan perkara yg sama. Terpulang pada keadaan juga.


Sekarang anak mengaji saya ada 14 orang. Mempunyai anak didik yg berbeza julat umurnya sangat mencabar. Lain keadaannya apabila kita harus mengurus perilaku anak didik yg berada dalam julat umur yg sama. Yang paling kecil berumur 4 tahun. Manakala yang paling dewasa berumur 12 tahun. Ada dua julat umur berbeza dari segi ajaran dan didikan jika kita rujuk kembali pada hadith nabi iaitu "7 tahun pertama adalah bermain bersamanya, 7 tahun kedua adalah masa untuk mendidiknya dan 7 tahun seterusnya adalah masa menjadi kawannya." -Mafhum Hadith-

Setiap peringkat umur dan bacaan saya punya sistem didikan dan bacaan yg berlainan. 

Bagi anak yg berumur 4-5 tahun ini saya memang terus 'tutup mata' atas kesalahan bacannya. Saya hanya menilai dari sudut dia boleh sebut atau tidak. Itu sahaja. Dan mereka memang lebih banyak bermain dan tak boleh menunjuk diam mengikut turutan bacaan didalam buku. Inilah yg saya sedang usahakan untuk mencuba 'flash card' pula berbeza dengan anak yg lain.

Bagi anak yg berumur 6-7 tahun pula, saya hanya perhatikan samada dia kenal baris dan boleh sebut dengan bunyi yg betul saja. Tiada hukum tajwid yg saya kenakan ke atas mereka. Di sini, ada seorang anak yg 'tidak lepas' disebabkan tiba-tiba dia menjadi seperti tak kenal huruf dan bunyi yg tidak betul walaupun kenal baris. Tapi, ada yg sebayanya mendapat markah penuh 30 kerana ingatan yg tajam dan sebutannya yg betul walaupun dia pelat. 

Bagi anak 8-12 tahun yg mengaji iqra' pula sama seperti di atas. 

Hanya yg membaca al-Quran saja saya sangat menekankan hukum tajwid dalam bacaan. Itu pun jika dia masih mempunyai jauh lagi perjalanannya untuk khatam al-Quran, saya hanya menegur dan membetulkan satu-satu hukum bukan sekaligus kesemuanya. 

Contohnya, satu minggu membetulkan bacaan waqafnya saja. Minggu depan baru membetulkan panjang pendek bacaannya pula. Minggu depan lagi barulah dibetulkan bacaan dengungnya. Di sini, hanya seorang saja yg masih belum mencapai tahap lulus. Ini kerana walaupun tajwid sudah diajar, dia masih tidak berubah langsung. Namun, saya masih memberikannya masa untuk memperbaiki bacaannya. Bukan setiap masa saya menegur kesalahannya. Di sebalik ini, dialah yg paling bersemangat dan paling suka belajar tajwid.

Hanya 2 orang saja yg sudah mahu khatam Quran dan sudah berada dalam juzuk 'amma tapi masih punya banyak kesalahan bacaan, saya harus bertegas dengan 2 anak ini dari segi hukum tajwidnya. Kadangkala baris pun masih salah bunyi. Tapi, saya cuba bersabar dan cuma membunyikan bacaan yg betul kepadanya. 

Saya tak pernah ucapkan perkataan "Ini salah." Saya bacakan saja apa yg sepatutnya dia bunyikan dan terangkan hukum tajwidnya. Kebiasaannya, dia tahu namun dia sendiri tidak perasan kesalahan ketika membunyikannya.

Bagi anak saya sendiri yg berumur 2 & 3 tahun, lain pula pendekatan yg saya gunakan. Saya tidak mengajarkannya alif ba ta. Tapi saya selalu membacakan alfatihah dan 3 qul kemudian mereka akan ikut dan ulang semula. 

Bagi saya, anak-anak umur 1-3 tahun harus dibiasakan dengan bacaan yg diulang-ulang sahaja bermula dengan ayat lazim supaya dia terbiasa dan mampu mengingat bunyi yg betul dan ini lebih praktikal berbanding diajar mengenal alif ba ta. 

Hanya apabila dalam 4-5 tahun, anak itu baru mampu mengingat dan mengenal alif ba ta dengan bunyi dan baris yg betul. Juga cara mereka diajar juga harus berlainan dengan anak yg lebih sikit dewasa. Kerana mereka lebih suka bermain sambil belajar. Itu lumrah.

Tidak semua keadaan saya bertemu dengan respon yg baik-baik saja. Tidak semua masa juga saya beroleh hasil aplikasi yg berkesan saja. Ada masa saya tidak berjaya. Ada masa saya terbabas ke tabiat lama. 

Sistem permarkahan 10-20-30 juga tersangatlah berkesan! Ia sangat mendorong anak-anak ini untuk berlumba-lumba mengaji dengan lebih baik supaya dapat markah penuh mengatasi kawannya yg lain. Ia juga sangat mendorong anak-anak ini berlumba-lumba mahu mengaji dahulu [sampai meja saya terbalik kerana masing-masing mahu baca di depan saya dahulu hehe..]

Masalah paling utama ialah bising dan bermain-main semasa menunggu giliran mengaji. Sebelum ini, sejak awal lagi saya sudah melantik 2 orang 'pengawas' untuk menjaga keamanan ketika kelas berlangsung. Dan yg dilantik itu adalah anak yg paling buat bising dan paling kuat bermain juga ajak orang lain bermain sama sebelum mengaji. Sekarang, anak inilah yg paling duduk diam [bukan tak bising] tapi dia sudah tidak bermain-main dan ajak orang lain main sama. Dia hanya duduk menunggu giliran dan bacaannya memang semakin cemerlang tidak malas lagi! Saya sudah tiada masalah dengannya. 

Malam ini pula saya menambah jawatan lain. Ini kerana saya lihat yg dulunya diam menjadi sangat melampau pula tahap kebisingannya. Bermain, bergurau, menjerit, cakap kuat, cari gaduh dengan budak lelaki. Maka, saya lantik dia dan 'regunya' sebagai Pengawas Keharmonian Kelas bagi perempuan. 

Manakala, yg paling suka menari oppa gangnam style dlm kelas, cakap lepas, dan bertumbuk dengan budak perempuan saya lantiknya sebagai Pengawas Keharmonian bagi lelaki. Mereka bertanya, keharmonian tu apa? [Saya saja tak mahu guna Pengawas Disiplin/Bising]. Saya hanya menjawab, jaga keharmonian kelas. Dan kawannya menambah sendiri. "Jaga kelas jangan bising la!" Saya hanya mampu tersenyum. [Apabila mulai bising saja, dia yg akan menjerit "Eh, harmoni sket, harmoni sket..!" Ya, saya tidak mendengar kata-kata yg kasar hari ini!hehe]..

Lagi satu jawatan baru iaitu Pengawas Pintu, saya lantik ke atas 2 orang yg selalu keluar masuk rumah [saya hanya mengajar di rumah] hingga orang yg sedang mengaji selalu terganggu, buat bising di luar rumah juga ajak orang lain main kejar-kejar dulu sebelum mengaji. 

Saya katakan, mulai hari ini ada peraturan baru. Pengawas pintu tugasnya tengok siapa yg keluar rumah saja pastikan dia terus balik dan tak boleh masuk rumah semula. Saya katakan dengan ikhlas, kalau nak main, mainlah tak perlu mengaji. Tak mengapa 1 hari tak mengaji. Tiada niat mahu mencabar. Saya tak suka memaksa mereka.

Lagi satu jawatan yg saya berikan kpd seorang budak darjah 2. Dia dgn rela hati mahukan 'satu jawatan' slps lihat kawan-kawan lain sudah ada jawatan. Maka, seorang kawannya cakap, "Ko jadi pengawas jaga buku jelah.." [Di rumah saya ada perpustakaan mini utk anak-anak]. Terus saya setuju dan melantiknya sebagai Pengawas Perpustakaan. Dia tepuk tangan suka! 

Baru-baru ini saya dapat tahu yg rupanya dia masih tak boleh membaca dan menulis namanya sendiri padahal dah darjah 2. Hasil pelantikan jawatan tu saya lihat ketika semua org menjalankan tugas [jaga orang], dia baru mahu pegang 1 buku di rak dan cuba membacanya walau tergagap-gagap.. Hmmm, saya lihat ini perkembangan yg positif! 

Hasilnya, Pengawas Pintu, Pengawas Keharmonian Kelas lelaki & perempuan memang menjalankan tugas dengan baik sekali! Sementara mereka menunggu giliran, mereka tetap berbual dan bermain tapi mengejutkan! Mereka boleh kawal tahap jeritan, percakapan mereka ke volume yg 'saya hanya mampu tersenyum senget'..hehe... Tak perlu dimarah, tak perlu disuruh diam, tak perlu suruh duduk diam-diam. Kecuali anak yg berumur 4 tahun tadi, itu sudah memang perangai anak kecil. Biarkan saja dia berjalan  sana sini asalkan tidak mengganggu tak mengapa.

Akhirnya, saya mahu kongsikan bahawa sebagai pengajar harus bermula dengan 1 persepsi yg tulus dan jernih. Ini kerana berhadapan dengan anak kecil ini sangat jernih perasaannya. Dia akan membalikkan semula imej yg kita tanggap ke atas dirinya. 

Kerana itu, apabila saya memberitahu "Baliklah rumah, makan dulu, siapkan homework dulu kalau sempat baru datang mengaji" pun dia tak mahu berganjak. Bila saya suruh balik bermain dirumah saja pun dia tak mahu kerana saya betul-betul tak mahu memaksanya utk datang mengaji. Maka, dia akan faham dgn sendirinya yg dia sudah membuat 1 kesalahan. Sangat berbeza apabila kita ucapkan sesuatu dgn persepsi negatif dan cuba mahu 'mencabar'nya. Ia akan berbalik kpd kita semula dgn perasaan sakit hati.

Sejak mengaplikasi teknik nabi ini, saya mulai berubah. Paling ketara, saya sudah mampu mengawal kemarahan. Dulu, saya juga cepat marah. 

Cuma sekarang saya merasai seperti ada yg bertanggapan mengapa tidak dimarahi saja anak-anak yg bising ini apabila datang mengaji. [Ya, mereka sangat bising!] 

Juga ada yg berpendapat hanya dengan marah-marah saja baru anak-anak ini akan takut sekaligus barulah mereka boleh mengaji dengan baik. Secara automatik, ini membuatkan saya kelihatan 'lembik' kerana menjadi guru yg tidak garang langsung dan tidak tegas atas anak-anak. Bagaimana anak-anak ini boleh berjaya kelak?

Saya tetap berpendirian bahawa semua kecemerlangan itu mempunyai 'masanya tersendiri'. Walau apa jua kaedah yg digunapakai, SABAR dalam menunggu hasil tuaian itu juga memerlukan masanya tersendiri.



Ulasan

Catatan Popular