CERITA 12 : Mengurus emosi anak




Dalam jam 8.40 malam tadi (lewat) tiba-tiba seorang anak berumur 7 tahun ini datang dengan berbasikal laju masuk ke dalam rumah saya. Matanya merah dan berair. Nampak sangat dia menangis. Dan dalam keadaan tergesa-gesa kerana datang lambat. Hingga Mejar Dr. Isa Iskandar menegurnya dan mengejeknya kerana datang lambat dalam keadaan menangis. Saya menghalangnya dari terus mengejek atau berkata apa-apa.

Saya teringat status di wall Puan Ainon, 'Jangan tanya kenapa dan jangan menyelidiki'.

Kebiasaannya apabila terlihat orang menangis saya akan bertanya kenapa? hehe... Kali ini, saya tahan diri. Saya hanya bertanya, "Zikry dah makan malam ke belum?”

Dan saya menyambung, "Kalau penat baring dulu, ambil bantal kecik tu, baring sini. Harini tak ngaji. Semua orang tak mengaji harini. Kita belajar tajwid je."

Dia senyap. Tiada respon.



Zikry kelihatan sangat sedih. Muram. Saya tak mahu selidik apa-apa.. Saya nampak dia keluarkan sendiri buku Iqra'nya dan rehalnya sendiri kemudian membaca seorang diri perlahan-lahan di sebelah saya.

Saya terus menyuruhnya mengaji seperti biasa sambil memantau abang dan kakaknya mencari contoh ayat dan menulisnya di papan putih. Anak ini tidak punya masalah besar dalam mengaji. Sekejap saja sudah habis 2 mukasurat!

Kemudian, saya ingat dia akan terus balik ke rumah. Tapi, saya lihat dia mencari sesuatu untuk menulis juga seperti abang dan kakaknya yg sedang belajar tajwid di hadapan.

Jadi, saya berikannya 'tugasan khas' juga. Ajarkan huruf berbaris tanwin kepada dua orang anak kecil yang berada di dalam rumah permainan itu.

Dia tersenyum dan dengan cepat-cepat mengambil permainan anak saya (dia tak bawa buku atau pensel sendiri hanya gunakan apa yg terlintas di fikirannya) itu untuk menulis sesuatu dan membunyikannya sambil didengari oleh anak kecil tadi.

Manakala, adiknya Fikrish tadi sudah 'hilang' dengan 'projek sendiri' secara senyap di dalam rumah permainan anak saya.hehe..

Apabila semua orang sudah balik, Zikry cakap tak mahu balik. Dah sudah! Saya hanya membiarkannya berbuat apa saja yg dia suka tanpa berkata apapun. Bila dilihatnya rumah sudah kosong tiada orang, terus dia melulu keluar pulang ke rumahnya seperti biasa.

Walau apapun kesedihan dan situasi yg bersarang dalam hatinya tadi, saya doakan supaya dia baik-baik saja.

Nota teknik : Tidak menegur kesalahan, Tidak marah datang lewat, Tidak bersoal-siasat, Puji atas kehadiran.

Ulasan

Catatan Popular