Usrah Cik Jah 1


Malam Khamis lepas, Usrah Cik Jah berlangsung dengan baik sekali. Kebetulan, ada seorang sahabat yang budiman mahu memasak dan memberi makan kepada anak-anak mengaji saya seramai 31 orang itu.

Anak kecil yg berumur 5 tahun pun boleh duduk diam membaca Yasin hingga bacaan doa sampai habis. Biasanya, kalau dengan ibubapa masing-masing tak boleh duduk diam dan sering membuat bising hingga selalu dimarah saja.

Sebelum bermula saya katakan, "Jika tak tahu membaca Yasin pun tak mengapa. Masih boleh dapat pahala sama seperti orang yang membaca dengan syarat, duduk diam dan senyap." Mereka mengangguk.

Saya melihat ini sesuatu yg sihat. Ada ibubapa mula memberikan kepercayaan kepada anak-anak kecil mereka walaupun tahu perangai mereka sebenar bagaimana. Membiarkan anak kecil ke rumah orang membaca Yasin walhal kekhuatiran tetap ada berdasarkan kebiasaan perangai anak-anak dan agakan pemikiran ibubapa yang anak mereka tidak boleh menjaga adab ketika membaca Yasin.



Apabila melihatkan mereka semua boleh duduk diam hingga akhir acara dapat makan dengan baik, itu sangat melegakan hati saya sebenarnya.

Tidak elok banyak berkalau-kalau dengan pemikiran sendiri walhal sesuatu itu belum pasti jadinya.

Saya percaya, sebelum anak-anak ini ke rumah saya tadi pasti si ibu mengingatkan mereka banyak kali untuk menjaga adab masing-masing.

Selepas bacaan Yasin dan doa ringkas, saya memberikan sedikit tazkirah. Tajuk pertama ini ialah 'Mencari Kebenaran'.

Pada satu hari, Rasulullah terjumpa seorang nenek tua berbangsa Yahudi sedang bersusah payah mengangkat barang. Lalu, Rasulullah menolong nenek itu mengangkat semua barangnya hingga sampai ke rumah. Dalam perjalanan, nenek itu bercerita, "Kamu kenal orang yang bernama Muhammad? Aku mendengar Muhammad seorang pendusta dan jahat. Jika engkau berjumpa dengannya, jauhkan dirimu daripadanya kerana dia sangat jahat orangnya."

Rasulullah hanya mendiamkan diri. Sampai di rumah nenek itu dia bertanya, "Siapakah namamu wahai anak muda? Sungguh baik budimu menolongku mengangkat barangan ini hingga ke rumahku."

Rasulullah s.a.w. menjawab dan tersenyum, "Akulah Muhammad yang engkau ceritakan itu tadi." -Maksud hadith-

Kesimpulan : Jangan sesekali mendengar kata-kata orang. Jika kita tak pernah berjumpa atau tak pasti seseorang itu bagaimana akhlaknya, jangan kata orang itu jahat. Jangan bersangka-sangka.

Jangan sesekali mendengar berita dari satu belah pihak sahaja. Ia menjadikan kita orang yang tidak seimbang. Orang yang tidak seimbang tidak boleh 'berjalan dengan betul' dan akan terjatuh. Untuk mencari satu kebenaran itu melalui membaca. Banyakkan membaca. Bacalah apa saja untuk mencari satu-satu kebenaran. Akan datang, di zaman kamu internet adalah sumber fitnah yang berleluasa.

Nota : Saya memilih tajuk ini disebabkan saya melihat anak-anak juga sudah mula berpolitik dengan semangatnya mempertahankan satu-satu parti yang disukainya tanpa tahu asasnya. Apabila saya bertanya, "Kenapa kamu kata parti itu jahat?" Dia menjawab, "Sebab ramai orang kata parti itu jahat."

Ulasan

Catatan Popular