Pilu


Hati saya sangat pilu malam semalam.

Sudah beberapa malam tiada kelas mengaji kerana jerebu. Malam ini anak-anak mengaji datang seperti biasa dengan penuh semangat.

Sedang saya mengajar ngaji yg besar-besar, tiba-tiba datang seorng bapa dalam keadaan baran dan terus menengking anak-anak mengaji saya.

"Siapa tadi yg nak belasah anak aku ugut mintak duit? Meh sini, kalau berani sangat nak jadi gangster biar aku belasah dulu! Ish, panas betul aku balik kerja ni aku dengar anak aku kena ugut mintak duit!"

Saya terkejut. Anak-anak mengaji semua membisu. Masing-masing bertanya siapa dan menggelengkan kepala.

Si bapa meminta maaf pada saya kerana kesabarannya sudah hilang dan mahu berjumpa juga dengan orang yg mengugut anaknya tadi.

Saya katakan, mereka baru sampai walhal anaknya sudah lama balik habis mengaji. Lalu, saya minta si bapa menyuruh anaknya datang semula ke rumah saya untuk bertanya sendiri padanya. Saya katakan, saya sendiri tak berani mahu tuduh sesiapa anak orang dan setahu saya, anaknya tak bawa duit untuk membeli apa-apapun.



Tuan suami sambil menggendong Fahmi tolong campur tangan dan memujuk si bapa tadi dari terus menyerang anak-anak mengaji yg lain.

Selesai semuanya mengaji, saya menyuruh yg besar-besar ini tinggal sebentar. Mereka dapat mengagak.

Saya katakan dengan nada yg rendah, "Semua tahu kan cik jah tak pernah marah kamu semua dan cik jah tak suka marah-marah. Ceritakan apa saja pada cik jah, cik jah tak marah kamu.."

Saya nampak tolak-menolak berlaku. 'Si nakal' mula mengangguk. Lalu, seorang kawannya memulakan cerita..

"Macam ni cik jah...[Cerita disertakan sekali dengan lakonan semula].."

"Oh, macamtu... Jadi, kamu A saja-saja je mintak dia belanja dan terlanggar bahu tak sengaja. Tapi dia dah salah faham ingat kamu mintak duit secara ugutan dan dia cakap dia kena belasah?"

Si nakal memulakan bicara. "Saya bukan ugut dia cik jah. Saya main-main je cakap suruh belanja. Pastu saya letaklah tangan saya kat leher dia macam peluk macamni. Bukan saya belasah dia pun. Pastu, dia pukul saya dari belakang tak pasal-pasal..! Saya kena, imran pun kena!"

Sedang kami berbual sambil bergelak ketawa kerana 'lakonan semula', datang si pengadu tadi. Saya jemput dia masuk. Lalu, saya minta pula dia bercerita dan buat lakonan semula untuk mengetahui 'pandangannya' pula.

"Tak ingatlah cik jah. Lupa..."

Banyak kali meminta dengan baik namun, dia katakan terlupa. Saya tak mahu menyelebelahi sesiapa, namun saya dapat simpulkan salah faham sedang berlaku. Si pengadu tersalah anggap dan imaginasinya agak tinggi membayangkan sesuatu yg tidak berlaku. Dan dia hanya menambah-nambah cerita kepada bapanya.

[Saya sudah sedia maklum yg dia tak suka mereka mengaji di sini kerana mereka duduk jauh bukan jiran tetangga yg dekat di sini. Anak ini pernah berterus terang dengan saya dahulu namun saya tak layan aduannya.]

Tak semena-mena, si bapa datang membuka pintu rumah tanpa salam. Terus menyuruh anaknya tunjuk padanya siapa yg ugut tadi.

Si anak takut-takut menunjuk. Keadaan sangat tegang!

Saya menjemput si bapa masuk untuk berbincang dengan baik. Tapi...

"Eh engkau mari sini! Kalau nak jadi gangster sangat lawan aku dululah! Mana mak bapak engkau, aku nak jumpa!"

Hati saya tersiat...! Tak dapat saya menahannya lalu menangis.

"Abang, saya kutip budak-budak ni gangster tepi jalan sampai diorang mengaji kat sini. Walau apapun sejarah hidupnya jangan kita menghukumnya. Dia sedang berusaha untuk jadi orang yg baik. Bukan macamni caranya. Ya Allah, dunia ni ada banyak cara untuk bantu budak gangster balik pangkal jalan. Dengan marah-marah, abang rasa budak ni akan jadi baik ke? Berapa ramai abang dah bantu budak gangster balik pangkal jalan dengan marah-marah macamni?"

Si bapa terdiam.. Sebelum ini, dalam suasana yg tegang sejak dari awal saya banyak mendengar dia bercakap dengan marah-marah.. Dengan berseluar pendek dan menghisap rokok berkepul-kepul di depan pintu rumah saya, cuba menasihati 'budak nakal' itu di hadapan ramai kawan-kawannya yg lain.

Makin laju airmata saya. Dalam masa yg sama, saya melihat keenam-enam anak lelaki di dalam rumah ini mengesat matanya dengan hujung baju beberapa kali. Kami menangis bersama.

Tuan suami tolong mententeramkan si bapa dalam masa yg sama tuan suami juga 'menyirap darahnya' dan mahu halau si bapa supaya pulang saja ke rumah. Namun, tidak berjaya.

"Abang, dengan pengalaman saya percayalah, budak-budak yg gangster takkan boleh berubah dengan marah-marah dan mengugut. Ini bukan caranya. Sebagai orang dewasa kita patut lebih rasional, tak mendengar di sebelah pihak saja. Ada baiknya abang masuk, dengar dulu cerita diorang pula."

Si bapa masih enggan masuk.

Dicercanya lagi 'si nakal'. Saya menangis lagi.

"Ini semua salah faham. Z, betulkan kamu salah faham? Beritahu ayah cerita yg sebenar."

Si pengadu mengangguk bersetuju yg sebenarnya dia sudah tersalah faham. Ingat 'si nakal' mengekorinya dari belakang dan mahu memukulnya. Walhal, 'si nakal' bersama kawan-kawannya berjalan biasa saja menuju ke rumah saya untuk mengaji. Namun, si pengadu mengungkit pula kejadian lama yg dia pernah dipukul dan diugut 'si nakal'.

Si bapa kendur sedikit melihat anaknya mengangguk-angguk dan kemudian baran semula mendengar ungkitan sejarah anaknya dan mengatakan dia sebenarnya sudah lama bersabar diamkan diri sejak dulu lagi.

Apabila ungkitan berlaku, saya harus menghentikannya. Jika tidak, sampai bila pun takkan selesai. Lalu, saya katakan kepada anak-anak mengaji dalam tangisan. (Masa berkonfrantasi dengan 'orangtua' yg kepenatan sudah tak berguna lagi).

"Dengar semua. Cik jah sayang kamu semua macam anak cik jah sendiri. Bila kamu semua kena marah, cik jah rasa seperti anak sendiri yg kena marah dan itu tentulah jadi salah cik jah kerana gagal mendidik kamu dengan baik. Dalam hadith yg kita baca tempohari, Rasulullah cakap apa? Berkata baik atau???"

Mereka menyahut, "Diam".. Saya ulang 3 kali.

"Rasulullah tak menghukum, tak marah-marah pada pelaku dosa yg datang kepadanya mengaku yg dia sudah berzina. Rasulullah tak marah-marah, tak menyerang, tak menghukum kepada pembuat dosa walau besar mana sekalipun dosanya. Rasulullah tak mengugut, tak memukul apalagi tak menggertak pembuat dosa yg mengaku dosanya besar. Rasulullah ajar kita apa? Berkata yg baik atau?"

"Diam..." Mereka menjawab serentak.

"Kemudian Rasulullah cakap apa? Hormati?"

"Jiran.." Saya mengulanginya 3 kali. "Hormati jiran. Walau dia duduk di seberang jalan perumahan kita tapi dia tetap saudara seIslam kita. Hormatinya. Jangan sakiti dia. Dan akhir sekali Rasulullah cakap apa? Hormati?"

"Tetamu.." Saya mengulanginya 3 kali.

"Sesiapa yg datang ke rumah kita adalah tetamu kita. Tak baik juga kita marahkan tetamu walau dia datang dalam keadaan macamana sekalipun. Hormati tetamu."

"Kamu semua sudah dengar cik jah bacakan hadith ini. Cik jah harap lepas ni tiada lagi gurau-gurau pasal duit, gurau-gurau pasal tendang-menendang. Tiada lagi ugut-mengugut. Semuanya anak-anak cik jah yg cik jah sayang.. Kita hidup macam adik beradik kerana hakikatnya kita saudara seIslam.. Sekarang, bersalaman semua dan salam pada pakcik ni dan berjanji kejadian macmni takkan berulang lagi. Minta maaf daripada pakcik."

Mereka semua menurut dengan laju, bermula dengan si pengadu bersalaman dengan si nakal. Dan si nakal bersalaman minta maaf dari si bapa. Lalu saya memuji mereka.

"Abang, kalau nak tahu diorang semua ni selalu datang sini ikut usrah saya tiap jumaat malam baca yasin dan baca hadith. Diorang rajin datang ke sini baca hadith dengan saya. Diorang ni semua nak jadi baik."

Suara si bapa terus menjadi rendah dan sudah bertenang.

"Baguslah macamtu kak. Saya bukan apa, saya marah sebab tak suka cara kasar dia ni. Budak-budak gini kena ajar sikit baru dia berenti kacau orang. Tapi yelah, saya hormat cara akak taknak marah-marah. Baguslah akak buat kelas dengan diorang ni. Saya minta maaflah sebab datang buat kecoh kat rumah akak malam-malam gini. Saya baru balik kerja, penat, dengar pulak cerita anak nangis-nangis.. Tu yg saya terbakor tuh! Apapun, saya minta maaf kak. Baguslah apa yg akak cakapkan tadi.."

Selepas menyambung sedikit lagi dialog meminta maaf dengan tuan suami di muka pintu pula, saya mendiamkan diri. Saya masih lagi menangis. Bersama anak yg kecil yg turut menangis dari tadi kerana sensitif dengan suara yg garang dan jeritan. Anak-anak mengaji ini kesemuanya turut menangis melihatkan saya menangis. Namun, dikesat airmatanya secepat mungkin..

Mereka semua pulang. Kes selesai..

Jauh di sudut hati saya, sangat hiba. Anak nakal yg mahu keluar dari kehidupan lamanya sering disalah anggap.

Sedih.

Sayu.

Allah berikan hidayahMu ke atas hati-hati kami semua.


Ulasan

Catatan Popular