Usrah Cik Jah 4 : Fokus



Kali ini Usrah Cik Jah agak berlainan dari kebiasaan. Selalunya, selepas membaca Yasin beramai-ramai, kami akan memilih satu hadith daripada hadith 40 untuk dibincangkan. Namun, kali ini berbeza.

Oleh kerana minggu itu adalah minggu peperiksaan pertengahan tahun, ada anak mengaji yang mengadu takut untuk menghadapi peperiksaan. Ada beberapa subjek yang belum mahir lagi katanya. Banyak yang belum baca dan tak faham untuk mengulangkajinya sendirian di rumah.

Ada subjek yang boleh saya bantu mereka melalui kelas yang saya adakan percuma untuk mereka pada hujung minggu seperti Kelas Bahasa Arab, Tajwid, Hafazan dan Tafsir. Namun, saya tak berupaya untuk tolong mengajarkan mereka kesemua subjek yang dipelajari setiap orang. Lalu, saya memberikan mereka sedikit tips.

Tip ini sebenarnya saya baru saja mendapatnya dengan menonton usrah tv9 bersama Ustaz Hanafi  Jumaat yang lalu. Kagum dan terinspirasi dengan kata-katanya, maka saya cuba praktikkan bersama anak-anak mengaji pula dalam usrah saya..hehe..

Fokus.

Aktiviti 1 :

Cuba mematahkan satu batang pensel dengan menggunakan satu jari telunjuk sahaja.



Pemerhatian I : Semua mahu mencuba untuk mematahkan pensel tersebut. Namun, ianya berakhir dengan kesakitan jari masing-masing dan perkataan "Susah", "Mustahil" dan "Mana boleh".

Hasil dapatan : Tidak seorang pun yang boleh mematahkannya kecuali seorang.


Pemerhatian II : Saya arahkan - Tarik nafas bertenang dahulu, letak jari di tengah-tengah pensel, angkat jari ke belakang dan ucapkan "Bismillahi Allahu Akbar!" sekuat hati dengan penuh semangat lalu patahkan pensel!


Hasil dapatan : Ada kemajuan beberapa orang yang menyebabkan pensel tersebut pecah di tengahnya kecuali beberapa orang yang menyebutnya sambil ketawa dan bermain-main. Dan hanya seorang saja yang betul-betul boleh mematahkan pensel tersebut. Dia  adalah orang yang sama.

Yang boleh memecahkan pensel ini tidak ketawa atau bermain-main. Dia seorang yang serius. Matanya tajam sama seperti daya fokusnya. Semua orang bertepuk tangan untuknya!



Kami terpana melihat anak tersebut dapat mematahkan pensel dengan mudah dan pantas sehingga terlupa mahu mengambil gambarnya.hehe.. Gambar anak mengaji di atas bukan orang yang dapat mematahkannya..


Aktiviti 2 :

Cari pasangan masing-masing (2 orang). Seorang membuat bulatan jari menggunakan jari telunjuk dan ibu jari. Rapat dan tahan jari daripada dapat dibuka. Berdiri menghadap hadapan rumah. Pasangannya, cuba membuka bulatan jari tersebut. Jika tidak berjaya meleraikan bulatan jari tersebut, cuba lagi tiga penjuru rumah (kiri, kanan, belakang).

Pemerhatian : Mencari titik fokus orang yang membuat bulatan jari tersebut. Biasanya, salah satu daripada empat arah ini merupakan titik fokus yang kuat. Iaitu bulatan jarinya tidak akan terlerai walau cuba dibuka oleh seorang lagi kawannya dengan sekuat hati sekalipun. Manakala, mudah untuk membuka bulatan jarinya bagi tiga arah yang lain.

Hasil dapatan : Arah bulatan jari yang tidak dapat dibuka dan dileraikan itu adalah merupakan titik fokus bagi anak tersebut. Kebiasaannya, arah itu adalah sama dengan arah kiblat. Saya menasihatkan mereka apabila pulang ke rumah nanti buat bersama adik-beradik yang lain atau ibubapa masing-masing dan lihat arah mana titik fokus mereka dalam rumah. Letak meja menghadap arah tersebut dan ulangkaji pelajaran. Insha Allah, apabila fokus mereka tinggi, akan mudah bagi mereka memahami dan menghadami pelajaran.

Bagi aktiviti yang pertama tadi, fokus sebenarnya diukur dengan tahap kita berfikir serta kata-kata yang diucapkan.

Pada awalnya, masing-masing hanya mahu mencuba mematahkan pensel tanpa kemahuan yang jelas. Semua orang bergelak ketawa kerana ianya tidak masuk akal dan mustahil dibuat.

Apabila kita mula berfikir dan fokus pada titik tengah pensel dengan meletakkan dahulu jari di tengah pensel dan ambil lanjakan sedikit ke belakang dan kemudian mengucapkan "Dengan nama Allah, Allah Maha Besar!" dengan begitu lantang, maka hasilnya berbeza daripada perbuatan yang pertama tadi.

"Bismillahi Allahu akbar!" adalah laungan yang diucapkan pada ketika orang melontar jamrah. Melontar jamrah adalah simbol kepada lontaran batu kita kepada iblis laknatullah!

Apabila minda bersedia, strategi diatur dan ucapkan nama-nama Allah atau zikir-zikir memuji Allah, fokus diri akan datang dengan sendirinya. Di sinilah kepentingan bagi semua orang membaca Al-Quran. Hanya tinggal mempersiapkan minda untuk belajar dan menduduki peperiksaan serta menyusun strategi bagaimana untuk menghadapinya.

Bukan melalui mendengar lagu-lagu yang boleh melalaikan.

Keberkatan ilmu itu lebih penting. Adalah lebih molek apabila kita ingin meminta sesuatu yang 'tinggi'  (ilmu pengetahuan) hanya daripada Empunya ilmu yang Maha Tinggi melalui ingatan kepadaNya dan puji-pujian ke atasNya.


Dapatan akhir : Ada seorang anak mengaji perempuan 11 tahun memberitahu yang dia terus mencuba mematahkan pensel di rumah bersama nenek dan ibunya. Dia mengingati arahan saya. Dia sendiri terkejut apabila dia berjaya mematahkannya! Dan akhirnya, dia menjumpai titik fokusnya di dalam rumahnya iaitu betul-betul menghadap kiblat.


Ulasan

Catatan Popular