Usrah Cik Jah : Menjadi VVIP syurga Allah


Dari Usrah Cik Jah. (Maaflah agak panjang pula kali ini kerana lama tak berusrah mereka sangat dahagakan pengisian yg bermacam).

Sudah lama tidak dapat berusrah bersama anak mengaji. Maklumlah, ada anak kecil ini banyak perkara yg tak disangka boleh terjadi.

Seperti biasa, mereka datang tepat jam 8 malam. Tunggu kedatangan yg lain sambil berborak-borak dan menyuap si kecil makan, begitulah rutin saya malam hari.

Jam 8.30 ada yg masih mahu menunggu kawannya yg lain, ada yg main bola pula di hadapan rumah. Ok, senang saja penyelesaiannya.

Saya katakan, "Kita mula sekarang. Siapa lambat tinggal. Siapa nak main bola boleh balik. Cik Jah pun nak tidurkan anak Cik Jah dah menangis ni."

Saya tak tahu kenapa mereka takut sangat dengan dialog saya sebegitu. Tak perlu rotan, mereka semua terus saja masuk ke dalam rumah dan terus memulakan bacaan Yasin. hehe..

Mujur Fahmi ini jenis suka mendengar bacaan al-Quran. Dengar saja, diamlah dia.

Selesai membaca, saya memberikan buku Hadis 40 kepada seorang anak mengaji yg volunteer mahu 'membuka tajuk usrah' kita pada hari ini. (Saya tak sempat merancang apa-apa. Saya jenis ad-hock. Buka buku itu sekali saja dan mukasurat yg dibuka itulah akan menjadi topik perbincangan usrah).

Semua dalam mode 'surprise' gitu.

Jeng jeng jeng... Tajuknya ialah.......



Hadis 37 : Keadilan dan Kurnia Allah.

Maksudnya : "Sesungguhnya Allah menetapkan kebaikan dan keburukan kemudian menerangkannya.Sesiapa berhasrat mengerjakan kebaikan namun tidak jadi mengerjakannya, Allah mencatat di sisiNya satu kebaikan yg sempurna. Jika dia berhasrat mengerjakan kebaikan lalu benar-benar mengerjakannya, Allah mencatat nilai kebaikan itu 10 kali hingga 700 kali ganda bahkan berlipat kali ganda lagi. Dan sesiapa berhasrat mengerjakan keburukan namun tidak jadi mengerjakannya, Allah mencatat di sisiNya satu kebaikan yg sempurna, dan jika dia berhasrat mengerjakan keburukan lalu benar-benar mengerjakannya, Allah hanya mencatat satu keburukan untuknya".

"Dalam hidup ini semua amal perbuatan kita cuma terbahagi kepada 2 saja. Baik atau buruk. Mahu buat baik atau jahat. Apabila kita baru niat mahu buat baik, tapi belum buat lagi pun kita dah dapat 1 pahala/kebaikan. Apabila kita buat saja niat baik kita itu, Allah lipat gandakan kebaikan kita menjadi 10 hingga 700 kali ganda mengikut keikhlasan dan kebaikan itu sendiri. Allah Maha Tahu nilai darjah keikhlasan seseorang. Manakala, sesiapa yg mahu buat jahat, niat saja belum buat lagi tidak dicatat apa-apa. Tapi bila dia berubah tak jadi buat niat jahat itu, dia mendapat 1 kebaikan kerana niatnya berubah tadi kerana Allah. Dan apabila dia mahu buat juga dan terus melaksanakan kejahatan itu, hanya dicatat baginya 1 keburukan saja. Betapa besarnya rahmat dan kasih sayang Allah kepada hambaNya kan?"

Belum saya habis menerangkan lagi ada seorang yg angkat tangan mahu bertanya.

"Cik Jah, ustazah kat sekolah haritu ada cerita. Ada orang ni buat jahat banyak kali! Mengucap pun dia tak pandai. Satu hari dia nak berubah kerana menyesal. Lepas dia belajar mengucap dan ikut orang sembahyang, tengah sujud tu dia meninggal dunia. Solat pun sebenarnya dia tak tahu. Dia main ikut je. Dia boleh masuk syurga ke?"

"Hmm, siapalah Cik Jah boleh tentukan orang tu boleh masuk syurga ke tak. Tapi, kalau ikut hadis ni agak-agak macamana? Ada sesiapa boleh tolong jawabkan?"

"Cik Jah, saya rasa orang tu masih dapat pahala dan kebaikan sebab dia dah ada niat yg baik. Lepastu dia dah solat walaupun tak tahu tapi dia buat. Dia dah tak buat jahat lagi dah. Mungkin dia boleh masuk syurga".

"Ha ah.. Saya pun rasa yg sama jugak. Dia dah niat, dia buat dapatlah pahala".

"Ya betul. Sebab tu kita jangan sesekali ada prasangka pada orang yg 'nampak jahat' atau orang lain cakap orang ni jahatlah, songsanglah macam kat tv tu jadi kita pun ikut sama cakap dia ni jahat padahal kita tak pernah jumpa dia pun secara dekat. Kita tak tahu bila dia bangun tengahmalam dan bertaubat pada Allah. Kita dok kutuk dia macam-macam walhal dia dah bertaubat kita ni macamana? Akhirnya dia dapat banyak pahala dan kita yg dapat banyak dosa sebab asyik mengata dan mengutuk orang saja. Dan yg paling penting, bila kita nampak orang buat jahat, doakan dia mendapat hidayah supaya pulang ke pangkal jalan. Kita pun bukan baik sangat nak menilai orang tu jahat orang ni baik kan. Jadi, berbaik sangka pada rahmat Allah."

"Cik Jah, ada kawan saya ni india. Dia cakap dia nak masuk Islam. Dia suka Islam. Tapi, dia tak tahu nak buat macamana. Kira macamana tu?"

"Baguslah dia dah suka nak masuk Islam atas kemahuan dia sendiri. Bila dah ada niat maksudnya dia dah dapat 1 pahala. Tinggal dia masuk Islam betul-betul je. Mengucap. Dapatlah dia kebaikan yg sempurna. Malah, boleh jadi berkali ganda! Moga dia dapat jalan ke arahnya. Sama juga dengan orang bukan Islam. Kita pun tak boleh kutuk-kutuk atau maki hamun dia sebab pegang babilah, pegang anjinglah. Tengok, bila dia dah masuk Islam dia jadi lebih baik daripada kita! Yg kita sedia Islam dari kecil ni macamana? Buat baik pada orang bukan Islam. Doakan dia dapat hidayah. Bila-bila pun Allah boleh jadikan seseorang lebih baik dari kita sendiri sebab tu janganlah kutuk-kutuk orang lain ok."

Dan soalan demi soalan bertubi-tubi ditanyakan oleh semua anak mengaji. Hinggalah sampai... 3 golongan manusia di akhirat kelak.

1. Orang yg dihisab dan dimasukkan ke dalam neraka dahulu kemudian baru ke syurga.

2. Orang yg tidak tahan dihisab dan terus terjun ke neraka.

3. Orang yg tidak dihisab lalu terus ke syurga. Orang ini dikenali sebagai VVIP syurga.

"Macam kita kat dunia ni masa beli makanan kat kantin misalnya. Panjangkan barisan? Ramai. Bila ramai sangat nak tunggu giliran kita lama lagi agak-agak apa kita buat?"

"Blah la.. Saya memang malas nak tunggu barisan panjang."

"Haaa, macam tulah kat akhirat kelak. Semua manusia dibangkitkan dan kemudian dihisab. Nak tunggu giliran dihisab tu seksa. 1 hari di akhirat bersamaan 1000 tahun di dunia. Sekarang umur kamu berapa? 15 tahun? Suku hari pun belum lagi kat akhirat. Cuma orang-orang tertentu je akan dihisab dengan cepat. VVIP syurga ni pula tak perlu dihisab. Terus dapat masuk syurga. Agak-agak siapa dia VVIP syurga ni?"

Diam...

"Hah, dalam grup kita kan Cik Jah dah kongsikan dah golongan-golongan yg termasuk dalam senarai VVIP syurga. Nanti balik, baca. Cik Jah sebut dua je golongan. 1. Ahli Sabr. Iaitulah orang yg bersabar dalam apa jua keadaan atau kepahitan yg dia rasai di dunia. Orang yg sangat-sangat bersabar dengan segala ketentuan baginya. 2. Ahli Fadhl. Iaitulah orang yg kebergantungannya hanya kepada Allah, bukan pada yg lain. Orang yg tak takut rezekinya putus, orang yg tak takut miskin, orang yg tak takut susah, orang yg tak takut walau dia seorang diri dalam dunia ni, dia ada Allah. Orang yg tak takut walau kerajaan yg memerintah tu bertukar sekalipun, dia masih ada Allah. Orang yg tak takut walau siapapun pemimpin atau pembesar kat hadapan dia, dia hanya mengharap pandangan dan ihsan daripada Allah. Nak jadi Ahli Fadhl ni memang susah. Di dunia orang ni tiada apa-apa, sentiasa rasa pahit dan perit tapi balasannya di syurga sangat manis dan indah.."

"Cik Jah, kalau kita kena kutuk dengan kawan, kena pulaukan dengan kawan tapi kita sabar, kita boleh jadi VVIP tak?"

"Ya boleh. Asalkan kita benar-benar sabar dengan apa jua bentuk penghinaan ke atas kita. Sabar. Pahit di dunia, manis di akhirat. Walau ibu ayah kita meninggal dunia akibat kemalangan sekalipun, kita sabar, kita ada Allah. Walaupun semua adik beradik kita meninggal dunia dan kita sebatang kara hidup di dunia inipun kita sabar, kita ada Allah. Walaupun anak kita meninggal dunia pun kita sabar, kita masih ada Allah. Walaupun orang yg paling kita sayang meninggal dunia, tapi kita sabar tidak mengungkit-ungkit, kita bergantung pada kasih sayang Allah. Semua ujian ini memang sangat pahit dan sakit untuk kita telan tapi sebenarnya ujian inilah yg boleh jadikan kita Ahli Sabr dan Ahli Fadhl. VVIP yg terus masuk ke syurga tanpa hisab. Manis tak akhirnya?"

Dan perbincangan terus rancak hingga bermacam-macam soalan yg dikongsikan :

"Cik Jah, kalau ada anak belum akil baligh meninggal dunia nanti dia boleh tarik mak dia dari jatuh ke neraka eh?"

"Cik Jah, masa kita lalu titian sirot tu nanti lembu yg kita korbankan masa raya haji tu datang dalam bentuk tunggangan kita eh. Dia akan bawa kita masuk syurga?"

"Cik Jah, dalam PMR kertas agama haritu ada soalan kenapa Abu Hurairah menjadi sangat dikenali dan penting dalam riwayat Hadis?"

Setelah, kami rancak berdiskusi dan berkongsi soalan dan jawapan, akhirnya, mereka pulang juga pada jam 9.35 malam. Disuruh pulang sejak jam 9 tadi masing-masing seperti melekat atas lantai rumah walaupun tanpa alas.hehe..

Kesimpulan : Semua manusia pernah melakukan kesilapan dan kejahatan. Manusia boleh berubah. Bertaubatlah. Berniatlah yg baik malah usahakan untuk membuat kebaikan setiap hari. Masuk syurga atas rahmat dan kasih sayang Allah. Cari keredhaan dan ihsan Yang Maha Kuasa. Sentiasa mahu belajar dan memperbaiki diri menjadi manusia yg lebih baik dari hari semalam. Walau apa jua kesusahan dan kepahitan yg kita alami di dunia ini, pasti ada manis dan sinar yg cerah di alam akhirat sana. Jangan takut, jangan bimbang. Jangan bersedih. Allah sentiasa ada. VVIP syurga adalah matlamat kita.
2928

Ulasan

Catatan Popular