Usrah Cik Jah : Tentang Cinta




Dari Usrah Cik Jah khas Aidil Adha.

Usrah kali ini yg paling lama dalam sejarah. Jam 8.45 malam, saya ingat anak-anak mengaji sudah pulang ke rumah masing-masing kerana saya pulang ke rumah sangat lewat, tapi mereka setia menunggu.

Kali ni juga agak ramai dari biasa. Hehe.. Seperti biasa kami membaca Yasin dan doa bersama.

Selesai Yasin, saya bertanya apa kemusykilan yg mereka mahu bincangkan dalam usrah kali ini. Terus saja beberapa orang daripada mereka menjawab, "Cik Jah ceritalah tentang Hari Raya Haji? Korban tu apa?"

Dengan Fahmi yg sedang menangis mahu tidur, saya gigihkan diri memulakan bicara.

"Setiap orang sebutkan 1 perkataan yg terlintas di fikiran bila Cik Jah sebut Raya Haji. Satu perkataan saja."

Seramai 11 orang anak mengaji di situ mengatakan 'tak tahu' dan hanya seorang mengatakan 'sembelih lembu'.

Ini kritikal!



"Betul, kamu semua tak tahu kenapa kita sambut Hari Raya Haji?"

Semuanya menggeleng serentak. Kelakar pula. Terdengar 1 suara, "Sebab tu kitorang datang sini. Kitorang nak dengar ceramah Cik Jah pasal raya."

"Bagus semua! Bila kita tak tahu kita bertanya." Agak lama saya terdiam mencari ayat pertama dan mencari jalan bagaimana mahu menerangkan.

"Hari raya aidil adha ni sebenarnya tentang Cinta."

Semuanya buat muka pelik. Ada yg tersenyum.

"Siapa di sini sedang bercinta?"

Mulalah keluar banyak cerita cinta mereka. Tiba-tiba saja ada soalan, bagaimana mahu memilih pasangan yg baik?

Saya katakan.

Setiap daripada kita tak kira lelaki atau perempuan, mesti mahukan pasangan yg sama baik dengan kita malah lebih baik daripada kita, yg boleh bimbing kita bukan? Ada yg mahukan yg tak baik? Kenapa wujud perasaan sebegitu, mahukan yg terbaik dalam hidup kita?

Senyap.

Kenapa yg terbaik itu datang dalam bentuk cinta?

Senyap.

Siapa pemberi perasaan cinta?

Anak mengaji : Allah.

Kalau Allah tak beri perasaan cinta atau suka pada seseorang, adakah kita boleh merasa cinta?

Anak mengaji : Tak.

Cuba kita tengok balik cerita Nabi Ibrahim. Nabi Ibrahim dapat anak setelah bertahun-tahun berkahwin dan masa tu Nabi Ibrahim dan isterinya sangat tua. Nabi Ibrahim tak kawin lain sebab isterinya lambat mengandung. Dan Nabi Ibrahim dan isterinya tak cuba makan macam-macam produk untuk 'cepat hamil' dan kemudiannya berterima kasih atau bergantung kepada satu produk/makanan yg boleh berikan isterinya kehamilan. Tengok betapa keyakinannya tinggi yg hanya bergantung kepada Allah Maha Pemberi Zuriat.

Bila dapat anak, mereka sudah tua. Lepas tu, dapat pula perintah Allah untuk menyembelih anak tunggalnya itu. Bayangkan kalau kita di tempat Nabi Ibrahim. Tapi, dek kerana cinta kepada Allah melebihi cintanya pada anak, Nabi Ibrahim lakukan juga demi Allah. Kerana apa? Kerana baginya, Allah lah yg memberinya anak itu dan Allah pemilik sebenar anak itu.

Sebab itu, pengajaran lain yg kita boleh dapat dari cerita Nabi Ibrahim ini ialah jangan sesekali kita cakap anak yg kita dapat itu kepunyaan kita seorang. Hakikatnya, anak-anak adalah pinjaman. Bila sesuatu yg buruk terjadi, kita tak boleh menangis dan merintih 'kenapa Allah ambil anak aku?'..

Allah Maha Pemberi. Tengok, lepas Nabi Ibrahim sembelih anaknya tiba-tiba, anaknya bertukar menjadi seekor kibash. Betapa Allah itu berupaya menghidupkan dan mematikan. Allah yg beri anak itu pada Nabi Ibrahim dan sekelip mata dia bertukar menjadi yg lain dengan kuasa dan kehendak Allah berdasarkan keikhlasan cinta Nabi Ibrahim.

Kerana itu, kadangkala bila kita hilang sesuatu dalam hidup ini jangan merintih atau mengungkit-ungkit kerana Allah yg memberi, Allah jualah sebaik-baik tempat kembali. Bila Allah nak ambil, itu hak Allah. Dan kehilangan kita semasa di dunia ini mesti ada gantinya di akhirat kelak. Kita tak boleh nampak lagi di dunia. Sama macam anak Nabi Ibrahim yg terus bertukar menjadi kibash. Allah berkuasa menggantikan apa yg kita hilang atau tak dapat rasa itu di akhirat kelak.

Sama macam bila kita putus cinta. Tak payah la nak nangis-nangis berbulan-bulan. Buang masa. Kita takkan dapat semua yg kita nak serentak. Bila kita kehilangan cinta, pulangkan semula rasa cinta itu kepada yg Empunya Cinta yg lebih agung. Siapa?

Anak mengaji : Allah.

Bila kita ada rasa cinta, letakkan semua rasa cinta itu kepada yg Memegang Cinta Agung. Siapa?

Anak mengaji : Allah.

Jadi, bila kita bercinta, ikut kata Pemberi rasa cinta itu. Buat apa yg Allah suka. Jauhi apa yg Allah larang. Cinta ada keberkatan, cinta itu lebih bermakna kerana Allah yg jaga. Tapi, bila kita ingkar perintah Allah hingga kita lalai dan tenggelam dengan cinta, jangan salahkan Allah kalau Allah tarik balik perasaan cinta tu bila-bila masa. Sebab, Allah yg memegang semua kunci cinta manusia. Pilihan dalam tangan kita.

Tengok malam ni. Kamu semua datang ke sini untuk kita baca Yasin sama-sama dan kemudian berusrah ni ada yg terlepas tak kat rumah? Maksudnya, datang usrah cik jah ni tak dapat tengok 'kampung girl tv3' kat rumah atau tak dapat tengok 'galaksi tv9' kat rumah?

Anak mengaji : Taklah cik jah. Kitorang tak layan cerita-cerita tu. Boring tak buat apa kat rumah, baik datang usrah cik jah.

Oh, bagus! Tapi, maksud cik jah macam malam ni kamu semua datang sini mesti ada sesuatu yg kamu terlepas di rumah bukan? Maksudnya ada yg kamu korbankan semata-mata untuk datang usrah ni.

Anak mengaji : Kitorang memang nak datang usrah dengan cik jah malam ni. Kitorang suka dengar cik jah cakap.

Oh ye ke? Haha... Ok ok.. Yelah tu. Cik Jah nak cakap, dalam dunia ni tak semua benda kita boleh dapat serentak. Kita buat sesuatu, mungkin kita akan terlepas sesuatu. Itulah namanya pengorbanan. Kita harus lepaskan sesuatu untuk kita dapatkan sesuatu. Nabi Ibrahim berkorban menyembelih anaknya untuk dapatkan redha Allah dan cinta Allah. Kerana baginya itulah cintanya yg utama.

Kalau ikutkan, cik jah tak larat mengajar kamu semua mengaji apalagi adakan usrah untuk kamu semua selama ini. Cik jah ada anak kecil. Tak tentu masanya dia nak menangis, nak tidur. Nak layan kamu semua. Nak ajar kamu semua mengaji. Agak-agak kalau cik jah tetapkan seorang rm10 untuk mengaji kat sini, 1 famili yg 4-5 orang adik beradik yg mengaji kena bayar berapa tiap bulan?

Anak mengaji : A ah ek. Cik jah tak pernah minta duit mengaji. Tapi, kalau cik jah tetapkan sorang rm10 pun rasanya nanti mak kita bayar.

Bukan. Itu bukan matlamat cik jah. Ini antara pengorbanan cik jah. Cik jah banyak dosa. Cik jah bukan baik sangat. Cik jah banyak buat silap. Jadi, cik jah fikir cik jah mesti buat banyak kebaikan dan amal jariah supaya jadi saham pada cik jah di akhirat kelak. Ini jelah salah satu pengorbanan yg cik jah mesti buat. Cik jah cuma harap bila kamu semua dengar tiba-tiba esok cik jah meninggal dunia nanti, cik jah harapkan kamu semua yg mengaji dengan cik jah dapat sembahyang dan doakan cik jah. Mohon Allah ampunkan segala dosa cik jah. *sebak*

Cik jah takde apa-apa kat dunia ni melainkan kamu semua dapat baca al-Quran dengan baik dan kemudian sedekahkan pada cik jah bila cik jah dah tiada nanti. *menangis*

Anak mengaji : Cik jah, kenapa cik jah menangis?

Cik jah tak kaya. Cik jah takde banyak duit. Cik jah cuma nak kaya di akhirat nanti, jadi cik jah mesti buat pengorbanan. Tapi, zaman sekarang memang perit hidup kalau takde duit. Memang zaman sekarang zaman semua orang terdesak mahukan duit. Semua perkara perlukan duit. Macamana ibubapa kamu semua membesarkan kamu mencari rezeki setiap hari. Sampai satu masa, kamu akan tahu bagaimana keperitannya tidak berduit. Cuma cik jah nak ingatkan kamu. Hidup di dunia ini ladang untuk kita tanam sebanyak-banyaknya, di akhirat nanti kita tuai hasilnya.

Tak kisah kamu miskin tak berduit, tapi keyakinan kamu terhadap Allah masih tinggi dalam masa yg sama kamu terus membuat kebajikan dan bersedekah apa yg kamu ada walaupun sikit kepada orang lain, kamu akan tuai hasilnya di akhirat kelak. Biar kamu miskin di dunia tapi pastikan kamu boleh kaya di akhirat.

Tak kisah juga kalau kamu berjaya, kaya dan berduit, hidup senang lenang, nak apapun terus boleh dapat. Pastikan duit yg banyak itu dikongsi dan bersedekah sebanyak mungkin demi kebajikan orang lain yg memerlukan. Alangkah bertuahnya jika kamu kaya di dunia dan terus hidup mewah di akhirat kelak.

Kerana itu dunia ini tempat kita melakukan banyak pengorbanan. Tak kisah jika kita hilang banyak perkara dalam hidup tapi kita tahu apa yg kita mahu capai di akhirat nanti.

Cik jah nampak ada seorang india tua duduk tepi kaki lima kat kedai depan tu, tidur pun kat situ malam-malam. Kalau kamu ada sikit duit, belikan dia nasi, lauk sikit, sayur sikit, bagi kat dia makan. Banyakkan buat kebajikan. Tolong orang. Tapi, jangan sampai kita beritahu semua kebajikan kita pada orang lain seolah-olah orang lain tak buat kebajikan yg sama.

Anak mengaji : Cik jah, kalau kita tolong orang india pun dapat pahala ke?

Tak kira kita tolong siapapun kita boleh dapat pahala. Kan ada cerita seorang pelacur bagi minum air pada seekor anjing dapat masuk syurga. Itu haiwan yg ditolongnya, inikan pula sesama manusia. Kita masuk syurga bukan sebab amal ibadah kita. Kita tak tahu mana satu amal kebajikan kita yg beroleh rahmat dan cinta Allah yg boleh menyenangkan laluan kita ke syurga. Sebab itu, pengorbanan sangat berkait rapat dengan cinta. Cinta perlukan pengorbanan. Tapi akhirnya cinta itu kembalikan semula kepada yg Maha Pemilik cinta sebenar.

Anak mengaji : Cik jah, betul ke ada orang cakap kalau kita korban 1 bulu haiwan tu kita dapat 1 pahala?

Kita buat sesuatu jangan sebab pahala. Kalau kita ada duit, kita buat korban. Lembu misalnya. Tapi, jangan kita dok kira dia ada berapa bulu supaya kita boleh tetapkan kita boleh dapat sekian-sekian pahala. Pemberian pahala tu bukan kerja kita. Ada hadith yg bercakap mengenai pahala tu ada baiknya supaya kita buat banyak amalan dan kebajikan. Tapi, kita tak boleh tetapkan berapa pahala yg kita boleh dapat. Sebab matematik manusia tak sama langsung dengan ilmu hisab Allah. Nak buat baik, niatkan untuk Allah. Kita buat sesuatu kerana Allah. Kalau dah buat baik mestilah ada pahalanya yg ikut sama sekali. Tak payah risau berapa banyak pahala. Itu kerja mutlak Allah. Tak usah berkira-kira dengan Allah. Yg penting kita buat saja perkara yg baik. Yg Allah suruh. Yg tak baik tu konfemlah tak dapat apa-apa. Setiap amal kebajikan kita niatkan sebagai pengorbanan kita untuk dapatkan cinta agung Allah di akhirat kelak. Itu yg lebih baik.

Akhirnya, kita tanya diri kita sendiri apa pengorbanan kita selama ini untuk mengejar cinta Allah?

Atau sebenarnya kita sedang mengejar cinta siapa?

Nota : Usrah kali ini memberi saya satu perasaan yg sangat berbeza. Terasa sungguh puas dan terisi. Banyak sungguh persoalan di benak mereka. Topik sudah mencapah. Kagum dengan semangat dan buah fikiran mereka. Usrah ini berakhir jam 10.15 malam. Itupun mereka masing-masing tidak mahu pulang ke rumah dan mahu tidur di rumah saya dek kerana topik perbincangan sudah bertukar menjadi ala-ala misteri nusantara pula..hehe.. Di bilik, anak-anak saya bertiga itu bersama tuan suami sudahpun tertidur...

~Terus mencari redha dan cinta Allah. Moga Allah ampunkan dosa saya dan dosa kita semua. Taqabbal allahu minna wa minkum. ~

Ulasan

Catatan Popular