Usrah Cik Jah : Pentingnya niat.


Perkongsian tertunda. Dari Usrah Cik Jah (minggu yg lepas). 

Seperti status saya sebelum ini yg bercerita tentang anak kembar yg tidak boleh duduk diam, usrah cik jah setiap minggu mulai hari itu sudah menjadi sangat mencabar. Mereka tetap hadir bersama kakak-kakak dan abangnya.

Kali ini saya sengaja pilih tajuk usrah mengenai Hijrah. Sempena beberapa hari yg lalu kita sudah masuk awal Muharam tahun baru. Seperti biasa, seusai bacaan Yasin dan doa, saya meminta seorang anak mengaji membuka Hadis 1 dalam buku rujukan kami 'Hadis 40 Imam Nawawi'.

Hadis 1 : Pahala amal bergantung kepada niat.

Maksudnya : Sesungguhnya diterima amal perbuatan itu bergantung kepada niatnya dan sesungguhnya bagi setiap orang akan mendapat apa yg diniatkannya. Sesiapa yg berhijrah kerana Allah dan RasulNya, dia akan sampai kepada Allah dan RasulNya. Sesiapa yg berhijrah menuju dunia yg akan diperolehinya atau menuju wanita yg hendak dinikahinya, dia akan mendapatkan apa yg diniatkannya:. (Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasa'i, Ibnu Majah dan Ahmad).

Saya mulakan dengan pertanyaan. 


"Tahu tak kenapa kita cuti Selasa yg lepas ni?"

Anak mengaji : Entah. Kalau cuti saya tidur je best!

"Oh, ok.. Tidur lebih best eh cuti-cuti ni.. Kalau Cik Jah tanya Maal Hijrah tu tentang apa?"

Semuanya menggelengkan kepala. Hanya seorang menjawab, "Pindah!"

"Betul! Hijrah itu perpindahan."

Seorang menyampuk, "Pindah rumah!"

"Hmmm.. Ok, betul juga. Pindah rumah bermaksud hijrah dari sudut fizikal. Betul! Lagi?"

Anak mengaji : Oh Cik Jah! Perpindahan Nabi Muhammad dari Mekah ke Madinah kan?

"Bagus! Tepat sekali! Hadis ini turun semasa Hijrah Rasulullah dalam peristiwa Hijrah. Macamana cerita tu?"

-Senyap-

"Ok, balik nanti google eh. Lepastu cerita kat Cik Jah balik. hehe.. Dalam peristiwa Hijrah ada seorang wanita yg mahu ikut Rasulullah berhijrah. Dalam diam-diam ada seorang lelaki dah suka kat wanita ni. Jadi, dia nak tackle la awek ni. Nak tak nak, lelaki ni pun ikutlah Rasulullah berhijrah kerana mahu ikut wanita ni. Sebab itu turunnya hadis ni. Sekiranya kamu berhijrah menuju wanita yg hendak dinikahi maka kamu akan mendapatkan apa yg kamu niatkan itu.

Sama juga contohnya begini.. A, kamu mahu pindah mana kalau dapat keluar dari Malaysia ni?"

A : Korea! Sebab lelaki korea semua hensem2 cik jah..hehe..

Anak-anak mengaji yg lelaki semua menge'booooo'kan si A.

"Ok. Jadi A pindah ke Korea kerana nak tackle pakwe yg hensem di sana. Kan? Maka, insha Allah A boleh dapat pakwe Korea yg hensem. Tapi, kena ingat! Kalau kena reject dengan pakwe hensem dan tak dapat pakwe hensem di sana, jangan menangis ketuk kepala kat dinding pulak ye! Sebab apa? Sebab manusia fitrahnya akan selalu sakit menyakiti. Manusia tidak boleh berikan janji yg pasti. Jadi, bersedia jelah untuk disakiti. Hanya Allah yg mampu berikan satu janji yg pasti! Ok, contoh lain?"

B : Kalau saya nak pindah saya nak ke China. Saya pindah kerana Allah. Saya nak mulakan hidup baru.

"Ok. Bagus! Bila kita niat pindah kerana Allah, maka Allah akan jaga kita. Kita tak tahu macamana nak hidup kat negara orang, tak boleh terfikirkan lagi. Tapi, hanya Allah yg lebih tahu untung nasib kita di negara orang. Tak kisahlah walau dalam negara sekalipun kita berhijrah misalnya. Pindah rumah kena check balik kenapa kita pindah? Untuk dapatkan rumah yg lebih besar untuk apa? Kalau kita niat untuk dunia, kita akan dapat sebab Allah Maha Pemberi. Tapi, lebih baik jika kita niatkan untuk berusaha menjadi hamba Allah yg lebih baik, maka kita akan terus dalam perlindungan Allah tak kira kita pindah rumah makin kecil atau rumah makin besar. Allah jaga kita.

Contoh ni semua adalah hijrah fizikal. Sebenarnya, kita boleh buat Hijrah setiap hari. Bukan semata-mata sambut Maal Hijrah awal Muharam je. Setiap hari kita berhijrah. Bangun pagi misalnya, kita berniat kenapa kita ke sekolah hari ini? Sebab ikut mak suruh, kalau tak ikut mak marah? Sebab nak pandai supaya nanti boleh cari kerja yg bergaji tinggi? Sebab nanti boleh tolong ibubapa kita dengan ilmu yg kita ada?

Perlukan niat. Macam hadis ni sebut apa je yg kita buat itu Allah tengok pada niat kita. Kalau kita buat sesuatu walaupun baik tapi akhirnya kita terlupa untuk letak niat kita padanya, sia-sia saja amal baik kita. Niat ni umpama pemberat. Niat yg akan menentukan perbuatan kita atau pilihan jalan hidup yg kita ikut setiap hari itu ada pemberatnya atau tidak yg boleh Allah ukur dan berikan ganjaran ke atasnya.

Kita bangun pagi tulah hijrah kita yg paling asas. Setiap hari kita berhijrah. Mana lebih untung? Pergi sekolah sepanjang hari lepastu balik hanya dapat penat dan kosong (kosong kosong kosong Najwa Latif pulak hehe..) ATAU pergi sekolah sepanjang hari niatkan untuk dapat ilmu Allah supaya jadi saham kita di akhirat kelak yg boleh membawa kita masuk syurga? Nampak tak bezanya bila seseorang yg ke sekolah dengan niat dan tanpa niat? Nampak tak tujuan kita ke sekolah? Nampak tak di mana pemberat bagi perbuatan kita setiap hari?"

A : Cik Jah, kat sekolah saya tak suka sorang cikgu ni! Dia suka sangat marah-marah saya dan kawan-kawan tak tentu pasal. Kadang-kadang kitorang tak tahu pun mana salah kitorang. Asyik nak marah orang aje. Boring betul saya! Kalau dia cakap je, saya mesti ejek dia balik. Dah la marah orang tak tentu pasal pastu membebel tak sudah.. Hish!

"Ok. Kenapa kita lawan cikgu tu balik? Apa niat kita? Supaya kita rasa puas hati lawan cakap cikgu tu dan rasa best ejek cikgu balik?"

A : Haah, bolehlah. Tapi tak puas jugak. Esok-esok dia marah lagi. Sakit hati lagi adalah.

"Habis tu, ada apa-apa manfaat ke kita lawan cakap cikgu tu balik? Hati tak puas jugak, hati makin sakit adalah kan.. Selagi kita terus berlawan dengan manusia kita akan terus penat, lelah, sakit luar dalam. Walaupun orang tu buat jahat pada kita, maafkan dia kerana kita taknak ada hutang dengan sesiapa kat dunia ni.

Sebab kalau tak setel maaf kat dunia, kita akan duduk lama kat padang mahsyar tak lepas, tak boleh hisab. Dah la padang mahsyar tu matahari cuma sejengkal je atas kepala kita, panas, dahaga, tak berpakaian pulak tu, ramai orang, bersesak-sesak, agak-agak tahan tak kita nanti? Tak boleh jalan ni selagi tak dapat maaf dari orang tu. Kalau orang lain buat salah pada kita pun maafkan dia je. Sebab kita pun taknak dia susah-susah berlari-larian ke sana sini cari kita untuk minta maaf. Kita pun tersekat sama. Bila kita maafkan orang, orang lain pun akan maafkan kita bila kadangkala kita tak sengaja sakitkan hati orang. Kita ni manusia biasa, walau baik manapun kita, kita takkan sedar bila kita sakiti orang lain samada dengan perbuatan atau dengan lidah kita sendiri. Maafkan orang. Hati lebih tenang, belajar pun lebih senang.

Cuba lepas ni kamu jumpa cikgu tu, minta maaf dengan cikgu tu. Maafkan saya cikgu kerana selama ni saya lawan cakap cikgu dan ejek belakang cikgu. Saya dah insaf. Saya taknak nanti di akhirat kat padang mahsyar saya terpaksa cari cikgu untuk minta maaf. Sebab saya nak masuk syurga cepat. Cikgu doakan saya ye. Maafkan saya cikgu.

A : Kalau saya cakap macamtu nanti mesti dia ingat saya dah buang tebiat! Kena marah lagi adalah..

"Cik Jah percaya, kalau kita pergi kat cikgu tu dengan niat 'aku nak minta maaf ni sebab esok aku nak mati' memanglah cikgu tu balas balik, awak dah nak mati sangat ke? Tapi, kalau kita pergi jumpa cikgu tu minta maaf betul-betul dengan niat supaya kita diringankan hisab di padang mahsyar nanti semata-mata kita dambakan syurga Allah, cik Jah percaya respon cikgu tu akan jadi lain. Minta perlindungan dari Allah. Ingat tak, hadis kita tadi? Niat ituah pemberat bagi setiap perbuatan kita. Pemberat tulah yg menentukan respon yg kita akan dapat seterusnya kat dunia ni. Apapun kita buat, letakkan niat untuk kita beroleh syurga Allah yg paling tinggi. Boleh?"

Anak mengaji : Boleh Cik Jah... Insha Allah..

"Bagus, lepas ni kita semua adalah orang yg berhijrah. Bukan hijrah fizikal tapi hijrah rohani setiap hari. Mulakan niat pada setiap kali kita bangun tidur dan solat subuh. Letakkan pemberat pada tiap perbuatan kita. Nak buat apapun, pasang niat. Insha Allah, Allah yg akan jaga kita dan berikan kita nikmat yg tak dapat dijangka."

Dan semua orang terdiam...

(Setelah beberapa ketika suasana agak sepi).

"Aik, senyap je ni.. Ada soalan lagi?"

A : .................. Terharu cik jah.

Huuuu.. Cik Jah pun terharu juga dengar pengakuannya sambil nampak dia terkuis-kuis karpet di ruang tamu dan merenung lama ke bawah.

Ulasan

Catatan Popular