Bagaimana mengajar anak mengaji dan hafazan mudah?

Dari peti soalan.

Soalan : Salam..
saya ada 2 org anak perempuan umur 1 tahun 6 bulan dan 4 tahun. Mereka sekarang minat membaca dan kalau boleh saya nak perkenalkan huruf jawi dahulu. saya nak mereka belajar mengaji dan kalau boleh membaca surah pendek seperti AL Fatihah, dan 3 Qul.

Apa yg Puan boleh rekomen ? kad imbas apa sebagai permulaan?

t.kasih


Jawapan : Huruf Hijaiyyah dan Jawi adalah berbeza. Sama untuk beberapa huruf sahaja tapi sebenarnya kedua-duanya sangat berbeza. Jadi, untuk mahir mengaji bukan melalui mahir Jawi.

Huruf Hijaiyyah adalah huruf asas di dalam al-Quran. Inilah asas bagi Bahasa Arab. Untuk membentuk sukukata, Bahasa Arab memerlukan baris.

Manakala, Jawi adalah asas bagi Bahasa Melayu dalam bentuk tulisan Jawi. Menurut Wikipedia - Tulisan Jawi bermaksud tulisan yang menggunakan huruf Jawi. Manakala huruf Jawi bermaksud huruf Arab dengan beberapa huruf tambahan yang digunakan untuk menulis dalam bahasa Melayu. Untuk membentuk sukukata, Bahasa Melayu Jawi ini memerlukan huruf.

Puan harus membezakan antara keduanya.


Salah satu faktor saya terdorong untuk mengeluarkan Kad Imbas Khadijah adalah disebabkan ini.

Sangat susah untuk saya cari Flashcard Huruf Hijaiyyah yg tunggal tanpa baris bagi asas memperkenalkan huruf ini kepada anak kecil. Yg banyak adalah Jawi. Ada beberapa huruf Jawi tidak ada dalam al-Quran. Dan huruf Jawi lebih banyak dari huruf Hijaiyyah.

Kaedah belajar jawi (huruf + huruf = sukukata).

Kaedah belajar Bahasa Arab (huruf + baris = sukukata).

Untuk mengaji dan membaca al-Quran memerlukan asas pengenalan huruf Hijaiyyah. Bukan Jawi.

Untuk belajar Bahasa Melayu (sebagai tulisan alternatif) memerlukan asas Jawi yg asasnya huruf Hijaiyyah.

Saya pernah kongsikan pengalaman dan cara saya mengajarkan anak-anak kecil saya mengenal huruf Hijaiyyah di awal usianya. Saya himpunkan di sini - http://sukamengaji.blogspot.com/2014/01/mendorong-anak-sendiri-suka-mengaji.html

Bagaimana asalnya anak-anak saya sangat pelat, ia hilang begitu saja selepas mereka berlatih menyebut huruf Hijaiyyah dengan betul. Dan selepas mengenali huruf Hijaiyyah, berikan mereka latihan menulis dan bermain dengan huruf. Apabila kenal huruf Hijaiyyah, tiada masalah besar untuk mengenal Jawi.

Dalam masa yg sama selalu bacakan kepada mereka surah-surah pendek contohnya bermula dengan Al-Fatihah mengikut perkataan demi perkataan tanpa terputus (bukan melalui sukukata) supaya apa yg kita sebut itu mereka boleeh ikut tanpa menjejaskan maksud perkataan tersebut (Bahasa Arab).

Contohnya, Bacakan : Alhamdu.. Lillaahi.. Rabbil.. 'Alamiin. Bukan ikut sukukata yg pendek seperti : Al..ham .. Du..lil.. Laa..hi..

(Perkataan demi perkataan supaya maksudnya terpelihara. Jangan dipotong di tengah atau ambil hujung atau akhir kerana boleh menjejaskan maksud ayat. Dikhuatiri anak akan membaca yg serupa hingga ke besar tanpa mengetahui maksud apa yg diucapkannya).

Atau jika puan kurang mahir untuk mengetahui mana satu perkataan (Bahasa Arab) yg lengkap, boleh rujuk AL-Quran Al-Fatih (Tafsir Per Kata Tajwid Kode terbitan Indonesia).

Kini di usia mereka masing-masing 3 dan 4 tahun, Fathi dan Fatihah memang sudah boleh membaca Al-Fatihah dan 3 Qul dengan sendiri. Kadangkala, sedang bermain pun atau di dalam tandas pun dengan sendirinya mereka membacanya sesuka hati mereka..hehe.. Saya yg terpaksa 'mengucap panjang'.

Mereka dapat membaca perkataan demi perkataan (maksud perkataan yg lengkap) bersama Tajwid yg betul sepertimana yg saya selalu ulang-ulang membacakannya kepada mereka.

Jika puan mahu anak-anak menghafaz surah yg pendek-pendek, bolehlah diulang-ulang setiap masa bacaan kita sendiri kepada mereka. Anak kecil sangat cepat dan mudah mengahafaz apa sahaja yg diberikan kepadanya. Boleh juga memasang radio/cd yg dibacakan oleh sesiapa yg lebih fasih dan tartil. Tiada masalah, asalkan saja diulang banyak kali ke telinga mereka.

Dalam masa yg sama, berikan mereka asas yg kukuh. Anak kecil harus disediakan tapak yg kukuh kepada mereka terlebih dahulu supaya mereka mampu membaca dan menyintai al-Quran dengan kerelaannya sendiri walau tanpa kita di sisi mereka satu hari nanti.

Dengan asas yg kukuh akan mendorongnya terus Istiqamah mempelajari al-Quran hingga ke akhir hayat.

Sebagai langkah pertama, carilah dan gunakanlah apa saja cara dan kaedah yg menyantuni perasaan dan pandangan pertama anak-anak supaya mereka punya gambaran yg belajar mengaji ini tidaklah susah dan membosankan, malah, ada sesuatu yg membuatkan mereka sentiasa gembira dan 'lapang hati' mempelajari huruf asas al-Quran ini, belum lagi membaca al-Quran yg besar itu! Menggunakan Kad Imbas hanya salah satu kaedah/cara yg boleh diterimapakai oleh kebanyakan anak kecil. Ada banyak cara/kaedah lain.

Adapun bagi Jawi pula, boleh ditekankan sedikit demi sedikit hanya selepas si anak mahir dalam Bahasa Melayu.

Pengalaman saya kini, anak-anak saya sudah konfius antara kedua tulisan ini sekarang. Hingga mereka menulis ABC pun bermula daripada kanan. Jadi, buat sementara waktu ini, saya berhenti dulu mengajarnya Jawi. Dan menumpukan dahulu kepada ABC pula.

Mantapkan dahulu satu-satu bahasa dan tulisan yg asas untuk anak kecil. Namun, tidak salah mahu mengajarkan anak mahir beberapa bahasa. Hasil kajian mendapati seseorang hanya boleh menjadi Poliglot (mahir beberapa jenis bahasa) pada sekitar umur 15-17 tahun.

Maka, sekali lagi perlu ditekankan perbezaan antara Hijaiyyah dan Jawi serta bahasa mana sebenarnya yg kita mahukan bagi anak-anak kecil kita ini.

Dalam masa yg sama, hafazan juga boleh ditekankan namun, kita harus tahu semangat di sebalik sesuatu hafazan. Seperti yg saya tulis di dalam entri di atas :

Yg paling penting bagaimana kita mahu mengekalkan minatnya terhadap al-Quran dan mahu terus mempelajarinya (tetap terus mengaji tanpa kita) serta memastikan kecintaannya terhadap al-Quran adalah bukan disebabkan kita (ibubapanya).

Biar sedikit-sedikit namun berterusan. Itu lebih kekal.

Wallahu 'alam..

Ulasan

Catatan Popular