Buku Mendorong Anak Suka Membaca Al-Quran


DIARI 16

Ucapkan yang baik-baik.

Walaupun hujan renyai tak berhenti malam semalam, namun ada 6 orang anak mengaji yang datang. Seorang anak lelaki yang berumur 8 tahun mengetuk-ngetuk kepalanya banyak kali ketika mahu mengaji. Katanya sakit kepala tiba-tiba. Saya bertanya kepadanya, kena hujan ke tadi? Dia menjawab ya. Saya pun membalas.

“Sebenarnya, Cik Jah bangga dengan semua orang yang datang malam ni. Walaupun hujan, semuanya masih datang nak belajar mengaji. Setiap titis hujan yang jatuh atas badan kita dikira pahala! Hujan tu takkan beri kita sakit sebab dah jadi pahala. Cik Jah suka kamu semua datang! Oleh kerana kesungguhan kamu semua datang mengaji walau dalam gelap dan hujan, malam ni semua dapat bintang sebanyak mana yang kamu mahukan!”

Serentak mereka menjerit 'Yeayyy!' Seperti menjerit dapat gol pula. Hehe...

Hakikatnya, malam itu semuanya dapat mengaji dengan baik sekali. Tiada yang mendapat markah 10 lagi. Anak lelaki yang mengetuk-ngetuk kepalanya tadi sudah berhenti mengetuk kepala dengan sendiri.

Entahlah, saya sendiri tidak pasti samada sakit kepalanya benar-benar sudah hilang begitu sahaja atau tidak. Dia mendapat markah 30 kerana bacaannya memang semakin tajam dan mampu membunyikan huruf sendiri tanpa bantuan.




Nota Cik Jah :

Bermacam-macam perangai dan alasan yang selalu saya dengar setiap masa dari mulut anak-anak yang ramai ini. Walaupun saya tahu itu alasan untuk mengaji dengan suara yang perlahan atau membaca dengan merangkak, namun saya 'pejam mata' dan tutup mulut atas apa saja alasannya tanpa perlu dilanjutkan lebih panjang.

Kadangkala juga ada yang bukan alasan. Ianya hasil betapa bersemangatnya mereka untuk datang mengaji setiap hari hingga tidak mahu makan malam dahulu sebelum datang mengaji dan sanggup meredahi hujan yang lebat.

Walau sudahpun diberitahu banyak kali jika hujan, tidak perlu datang mengaji, ada yang masih sanggup datang juga berpayung dalam gelap. Sungguh, saya sendiri amat terinspirasi dengan semangat dan kemahuan mereka sendiri untuk datang mengaji. Inilah juga doa dan harapan saya supaya anak-anak didik saya mempunyai kekentalan jiwa dalam usaha membuat sesuatu pekerjaan apalagi demi mempelajari al-Quran.


Langkah & Prosedur :

1.Apabila mendengar alasan atau melihat kelakuan yang tidak diingini, jangan terus marah. Tangguhkan kemarahan.

2.Jika tidak tahu apa sebenarnya yang menjadi pencetus kepada kelakuan kurang baiknya itu, maka jalan penyelesaian tidak dapat diajukan. Tidak perlu bersoal-siasat.

3.Ucapkan kata-kata yang baik menggantikan jalan penyelesaian.

Tips : Jika tiada jalan penyelesaian yang boleh dinyatakan, khabarkan berita gembira atau ucapkan ayat yang baik yang boleh menyantuni kelakuan buruknya.
Selalunya, apabila anak berkelakuan tidak sepatutnya atau luar dari kebiasaan, mesti ada penyebabnya yang menjadikan mereka berkelakuan sebegitu. Dengan memarahinya, ia tidak dapat menjadikan keadaan yang lebih baik malah ia akan menjadikan kita lebih merasa bersalah pada akhirnya.

Kesimpulan :

Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam itu diutuskan untuk memberitahu khabar gembira di kala umat manusia berada di dalam kesesatan.
Maka, ucapkanlah apa-apa yang boleh menggembirakan hati anak-anak dikala mereka banyak melakukan kesalahan atau ketika tingkahlaku mereka kurang memberangsangkan.

Teknik asas :

  • Pejam mata pada kesalahan,
  • Puji usaha dan semangat yang ditunjukkan,
  • Ucapkan kata-kata yang baik.


--------------------------------------------------------------------
Ini adalah draf salah satu bab manuskrip Buku "Mendorong Anak Suka Membaca al-Quran". Terdapat 26 bab semuanya.

Saya sedang dalam perancangan untuk menerbitkannya sendiri di atas permintaan yang ramai.

Mohon tinggalkan nama, no telefon dan alamat emel di

[nuundemipena@gmail.com]

ATAU

WhatsApp : 019.7175093  untuk Pre-Order.

Terima kasih.





Ulasan

Catatan Popular