Mengajarlah tanpa menghidupkan api kemarahan


Sebenarnya, inilah perkara utama yg mahu saya kongsikan kepada ibubapa/pengajar al-Quran yg lain. Namun, proses penerbitan buku "Mendorong anak suka membaca Al-Quran" ini memakan masa sejak dekat 1.5 tahun dan bakal mengambil masa agak lama lagi, saya tak pasti.

Pagi ini pula mendapat soalan dari peti emel.

Soalan :
As-salam puan ,

Untuk tahap umur anak saya 6 tahun ..perlukan saya tekan tajwid ketika mengajarnya. Saya dapat lihat anak saya semakin jauh hati untuk membacanya . Di tadika dia dimarahi ..saya kesian sangat...saat ini dia masih membaca qiraati 3 ...guru tadika mengatakan yang anak saya agak ketinggalan dalam qiraati .

Saya nak anak saya suka mengaji dan tidak bosan ....saya taktau apa yang harus saya lakukan . Kalau suami ajar mengaji anak saya mmg menangis dan membaca dengan terpaksa kerana dirotan ...

Tolong puan ...bantu saya ...saya nak betulkan keadaan sebelum terlambat ...
TQ



Jawapan :
Waalaikumussalam puan.

Anak 6 tahun masih lagi kecil. Pada saya, anak yg kecil belum lagi baligh perlu diajar melalui kasih sayang. Dengan kemarahan kita hanya melunturkan semangatnya untuk terus berusaha. Sudah pastilah orang yg baru belajar itu harus membuat kesalahan. Tidak perlu mengharapkan anak kecil kita tahu semuanya dan terus pandai sekelip mata. Tidak mengapa jika dia tersalah membaca. Kita tidak perlu menghukumnya atau memarahinya. Katakan kesalahan itu adalah biasa sebelum kita pandai membaca sesuatu.

Apa yg boleh saya cadangkan ialah tahan marah. Mengajar anak kecil mengaji di bawah 7 tahun memang sangat mengujikan kesabaran. Sama juga dengan anak yg besar. Tiada bezanya. Tapi, sabar sajalah. Teknik menahan sabar ini kebanyakan ibubapa pengajar masih tidak semua mendapat hikmahnya.

Di dalam buku saya "Mendorong Anak Suka Mengaji" (sedang dalam proses penerbitan) saya ada menyatakan begini :

Ilmu itu cahaya. Menyejukkan hingga ke dalam dasar jiwa. Ia bergerak lurus dan laju ke dalam hati manusia juga telus dalam apa jua situasi.

Manakala, marah itu api. Sangat panas dan membakar segala perkara yang berkaitan dengannya sebagaimana api yang membaham kayu api.

Marah dalam memberikan ilmu tidak boleh bergerak seiringan. Jika api yang disuakan, bagaimana cahaya yang sejuk itu mampu bergerak lurus dan telus ke pelusuk hati yang menerimanya?

Mengaplikasikan teknik ini membuatkan saya terfikir bahawa mengajar ayat-ayat al-Quran apalagi mendengarnya umpama air sejuk yang mengalir tenang. Masakan ia harus disusuli dengan api yang panas membakar?

Oleh kerana itu, saya berpendapat selagi ayat-ayat Allah atau apa saja bentuk ilmu sekalipun itu diajar dengan api kemarahan atau diugut dengan rotan, kita hanya bakal menghidupkan lebih banyak buih di lautan.

Tidak kira apa jua perkara yang kita ingin ajarkan kepada anak-anak, bersabarlah!
Tahan amarahmu!
Dan ucapkanlah yang baik-baik.. Bukankah itu asas ajaran Nabi s.a.w. yang kita sayangi dan junjungi?

Kaedah / cara / manhaj berbeza-beza mengikut situasi dan keadaan. Apa yang perlu difahami adalah konsep asasnya. Tidak kira jua apapun nama teknik yang diberikan ke atasnya, yang jelasnya Nabi kita Muhammad s.a.w. itu sejak dahulu lagi mengajarkan kita tentang berkasih sayang dan menjauhi api kemarahan. Ucapkanlah yang baik-baik ataupun diam.

Walau apa jua nama teknik yang digunapakai dan diberikan ke atasnya, ternyata teknik sebegini sebenarnya berjaya memupuk dan meningkatkan self-esteem anak-anak yang sebelum ini selalu dimarahi/dijerkah/dipandang rendah dan diugut menggunakan rotan ketika mengaji hanya kerana mereka lambat memahami atau lambat membaca.

Walhal, belajar membaca al-Quran itu wajib dipelajari dan siapalah kita untuk memandang rendah kepada orang lain hanya kerana seseorang itu adalah anak yang masih kecil dan mengambil masa sebelum benar-benar mahir membaca?

Hanya Allah dan RasulNya yang
lebih mengetahui.

Ulasan

Catatan Popular