Asas membaca VS Kaedah Cepat Membaca.



Dari peti soalan ‪#‎sukamengaji‬ :

Assalamualaikum Puan Khadijah. Boleh saya tahu, kad imbas masih available tak ya? Ebook Puan masih ada diskaun tak?
Satu lagi soalan saya, berdasarkan apa yang saya baca dri ilmu yang Puan tulis, kita perlu ajar huruf tunggal terlebih dahulu kepada anak. Tapi kalau ikut kaedah Al Furqan, terus ajar huruf yang berbaris.. boleh Puan tolong terangkan kepentingan kita kenalkan huruf tunggal terlebih dahulu? Seperti yang Puan katakan juga, kita perlu bezakan antara huruf jawi dan huruf Al Quran..
Mohon Puan terangkan dan saya yakin ramai diluar sana juga ingin tahu.
Saya mula terfikir sebab saya guna kaedah Al Furqan. VCD lagunya juga huruf disamakan dengan Bahasa Melayu bukan Arab. Confuse juga saya apa saya perlu buat sekarang..
Syukur Allah temukan saya dengan Puan Khadijah..
Ebook Puan ada menerangkan tentang kaedah mengajar anak tak ya? Mengenai KIK, ya saya berminat untuk amik satu set (pakej)
Terima kasih Puan.

Jawapan :





Wa 'alaikumussalam puan. Maafkan saya kerana soalan ini terperap sangat lama.

Mengenai kad imbas, bila-bila puan mahu beli pun tak mengapa.

Jawi VS Hijaiyyah.

Ya, saya sangat menekankan bahawa asas pengajaran dan pembelajaran al-Quran haruslah dimulakan dengan huruf tunggal. Huruf tunggal bagi hijaiyyah pula sebaiknya diperkenalkan melalui perkataan Bahasa Arab BUKAN Bahasa Melayu (Jawi). KIK menggunapakai kesamaan bentuk dan ciri huruf serta cara membunyikan huruf.

Bermaksud, jika tidak menggunapakai KIK pun tak mengapa, boleh mula memperkenalkan huruf tunggal kepada anak kecil menggunapakai huruf awal yang diwakili dengan Bahasa Arab.

Mengapa huruf tunggal dahulu bukan huruf yang berbaris?



Saya kurang pasti jika ada yang mengajar al-Quran hanya menekankan soal kebolehan untuk membaca saja dan tidak mengajarkan tajwid.

Saya selalu berkata kepada anak murid saya kepentingan mengetahui tajwid untuk membaca al-Quran. Ia umpama kita menyanyi lagu. Jika lirik dan melodinya tidak "dibaca" dengan betul, bermakna kita sedang menyanyikan lagu "Negaraku" walaupun sebenarnya kita sedang menyanyikan lagu "Apa khabar". wink emoticon

Kesan.

Saya dapati ada 2 kesan besar dalam generasi yang diperkenalkan huruf berbaris sebagai permulaann pembelajaran al-Quran. Hasilnya,

1. Apabila membaca surah Maryam, surah al-Baqarah sekalipun yang dimulakan dengan huruf tunggal, mereka membacanya dengan baris atas.

Kaf Ha Ya 'Ain Sod. Dibaca dengan Ka Ha Ya 'Aa So.
Alif Lam Mim, dibaca dengan Aa La Ma.
Ghain Sin Qaf, dibaca dengan Gha Sa Qo. Terkejut saya semasa pertama kali mendengarnya!

2. Semasa saya mengajar tajwid hukum Nun mati dan Mim mati, mereka menyebutnya sebagai hukum Na mati dan Ma mati.

Jika ditulis apa yang disebutnya ia adalah huruf nun berbaris atas dan ada tanda mati lagi di atas baris itu. Puan pernah lihat tanda bacaan sebegitu di dalam al-Quran?

Beza.

Perlu dibezakan antara asas PdP dengan kaedah cepat membaca.
Jika kita mengajar anak kecil alphabet (ABC), adakah kita mulakan dengan mengajar anak-anak dengan sukukata BA, TA, CA?
Walaupun kaedah phonics, ABC di ajar dengan pengenalan kepada huruf tunggal terlebih dahulu berdasarkan bunyi.

Mengajarkan huruf hijaiyyah (huruf asas yang membentuk al-Quran) = Bahasa Arab dengan permulaan DA, LA, SA, JA, MA (semuanya berbaris atas) adalah sama maksud dengan mengajarkan anak SUKUKATA.

Untuk melihatnya dengan lebih jelas, ajarlah anak huruf hijaiyyah dengan huruf jawi secara serentak!

Apakah perbezaan di antara keduanya?

Seperti di dalam gambar awal ini, anak murid saya berumur 7 tahun menulis MATAHARI dengan Mim berbaris atas pada mulanya (Ma). Diikuti dengan Ta Ha Ra Ya. Sudah terang, dia mahu mengeja jawi bukan bahasa arab! Adakah tulisan jawi ditulis dengan baris?

Kemudian, saya hanya menyuruhnya memadamkan baris di atas mim itu sebelum menambah huruf yang tertinggal. Pandu yang betul dengan memberikan tips :
Jawi = huruf + huruf
Al-Quran (bahasa arab) = huruf + baris
Nyatanya, dia semakin faham dengan berbuat kesilapan sebegitu.
Anak perempuan darjah 1 ini juga sudah mampu membaca al-Quran dengan baik, tetapi bila dia menulis "Allah" dalam jawi, dia menulis dengan Alif Wau Lam Ha.

Bagaimana situasi ini boleh terjadi?

Apabila ditanya nyata sekali semua anak-anak murid saya menyangka yang selama ini mereka membaca al-Quran itu adalah Jawi dan jawi itu adalah mengaji! Astaghfirullah..

Puan juga boleh bertanyakan kepada sesiapa saja anak-anak di peringkat umur sekolah rendah. Dapatkah mereka berikan perbezaan antara Jawi dengan Hijaiyyah secara asas?

KAEDAH CEPAT MEMBACA.

Kaedah pengajaran huruf tunggal yang berbaris adalah satu kaedah yang dicipta bagi membolehkan anak-anak cepat membaca.

Ia harus dibezakan dengan apa yang harus diajar sebagai asas kepada anak-anak sejak usia kecil.

Kaedah-kaedah sedia ada seperti Iqra', al-Furqan, al-Baghdadi dan lain-lain lagi adalah inovasi kaedah membaca yang sangat berkesan bergantung kepada cara pembelajaran anak-anak. Kaedah-kaedah ini bagus! Cuma kita saja yang meletakkan cara ini pada tahap yang salah.

Di sekolah menggunapakai buku Iqra' untuk membantu pelajar cepat menguasai bacaan al-Quran. Naik darjah 2 saja, mahu tak mahu pelajar harus membaca al-Quran surah al-Baqarah. Lepas tak lepas, wajib khatam al-Quran menjelang mereka habis darjah 6. Ini bagi merealisasikan aspirasi pendidikan agama Islam di Malaysia supaya anak pelajar kita celik al-Quran. Setinggi penghargaan bagi guru-guru J-Qaf.

Namun begitu, sebagai ibubapa kita harus membantu ustaz dan ustazah di sekolah. Mereka punya anak didik yang ramai di dalam satu kelas. Mana mungkin ustaz dan ustazah harus mengajarkan "kenal huruf" (asas) kepada anak darjah 1 di sekolah? Sedangkan ada anak pelajar lain sudahpun mampu membaca al-Quran.

Lagipula, silibus pendidikan hari ini (semua subjek) sudah semakin jauh ke hadapan. Jadi, mereka harus menggunapakai kaedah cepat membaca.

Kita di rumah, menjadi tanggungjawab dan peranan utama ibubapa, ajarilah yang asas (kenal huruf tunggal) dahulu kepada anak-anak sendiri. Inilah saham TERRRRBESAR yang kita cucuk tanam ke atas anak-anak kita. Tidak perlu dihantar ke tempat tertentu untuk orang lain ajarkan. Kita sendiri boleh mengajar anak asas membaca al-Quran ini di rumah.

Apabila anak sudah kenal huruf, ajarkan ketiga-tiga baris asas secara serentak.

Jangan terlalu menekankan kepada bunyi yang mudah disebut anak kecil kerana hakikatnya bahasa al-Quran ini adalah bahasa yang mudah! Ia bahasa syurga. (Di syurga semuanya mudah, tiada yang susah). Baris atas, bawah atau hadapan semua anak kecil pun mudah menyebutnya. Ini adalah fitrah.
Ringankan urusan kerja guru-guru. Allah akan meringankan urusan kerja kita juga. Insha Allah.

Pastikan sebelum anak naik darjah satu, mereka sudah menguasai asas huruf tunggal dan baris asas. Kemudian, gunalah apa saja buku kaedah membaca untuk latihan berperingkat. Sebaiknya, apabila naik sekolah rendah, mereka sudah mampu membaca al-Quran sendiri.

Ia harus dimulakan dengan ibubapa di rumah.

Awal pagi tadi saya baru mendapat mesej dari seorang sahabat lama saya yang juga pengedar KIK di UK. Menurutnya, anaknya yang kecil sudah dapat mengenal huruf sebelum masuk umur 2 tahun lagi. Sungguh saya gembira mendengar perkhabaran ini. Alhamdulillah. Beliau seorang ibu yang sangat rajin.

Saya pula berbeza cerita. Anak kecil saya yang sebaya dengan anaknya ini baru juga menginjak 2 tahun sudah kenalpasti baris-baris asas dulu. Terbalik pula! Haha.. Ini kerana anak kecil saya suka melihat emoticons yang catchy di dinding rumah (poster yang ditampal). Konsep asas mudah yang senang dilihat dan ditiru.

Barias atas = buka mulut
Baris bawah = nampak gigi
Baris hadapan = muncung mulut

Input simple sebegini memang mudah dihadami bagi anak sekecil 2 tahun apabila dia sering melihatnya melalui imej berwarna. Namun, dia harus diajar mengenali ciri-ciri huruf tunggal bagi memudahkannya mengenali huruf bersambung pula nanti. Hanya saya yang tidak berapa rajin buat ketika ini. Astaghfirullah.. Moga Allah ampunkan dosa saya. Mujur ada sahabat yang mengingatkan saya kembali. Allah..

Kesimpulan.

Apabila anak sudah hadam ciri-ciri huruf tunggal serta fungsi baris-baris asas yang utama, berikan saja apa jua jenis buku kaedah bacaan yang ada di pasaran hari ini, mudah saja mereka dapat membacanya, insha Allah.

Sekali lagi perlu ditekankan, bezakan antara mengajar anak kecil kita asas bacaan dengan kaedah membaca.

Saya kurang gemar mengguna perkataan "cepat membaca" sebenarnya kerana hakikatnya setiap anak itu perlu mempunyai ruang dan masanya tersendiri sebelum benar-benar mampu dan mahir membaca. Cepat atau lambat bukan persoalannya.

Yang perlu menjadi kebimbangan saya hari ini ialah kesan gajet ke atas minat belajar anak-anak.
Persoalan yang lebih utama, adakah anak akan terus suka membaca / mengaji walaupun di satu hari tanpa kita di sisinya?

Atau mampukah mereka untuk membuka al-Quran sendiri tanpa arahan / ajakan kita lagi?

Wallahu A'lam.

Saya ada kongsikan pelbagai cara mengajar anak mengaji di rumah sambil bermain dan zero stres dalam usaha menanamkan perasaan suka anak-anak untuk terus belajar mengaji > http://sukamengaji.com/
(Mohon subscribe emel untuk mengikuti perkongsian terbaru).

Ulasan

Aina Dayana Hilmi berkata…
Terima kasih puan. Ilmu baru saya peroleh hari ini. Selalu singgah ke sini membaca artikel. Moga jadi ilmu bermanfaat :)

Catatan Popular